Dua pasukan gergasi Asia bakal uji skuad Malaysia bawah 17 (B-17) sebagai persiapan menghadapi saingan Piala Asia B-17 yang dijadualkan berlangsung di Thailand pada 15 Jun hingga 2 Julai.

Perkembangan itu disahkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin menerusi satu laporan dalam Harian Metro semalam.

Pasukan B-17 negara kendalian Osmera Omaro itu akan menentang Arab Saudi dan Uzbekistan yang kebetulan berada di Kuala Lumpur untuk kem latihan terakhir sebelum mereka berlepas ke Bangkok.

Dua pasukan itu menjadi pilihan untuk menguji kekuatan skuad negara yang telah membuat persiapan selama 2 minggu di Qatar pada bulan Ramadhan.

Piala Asia B-17 turut menawarkan 4 slot ke Piala Dunia B-17 untuk pasukan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

Hamidin turut letak harapan tinggi untuk melihat skuad negara layak ke Piala Dunia B-17 secara merit kerana berpendapat pasukan ini mempunyai potensi dan masa depan yang cerah.

“Kalau ada rezeki…kita kerja kuat sama-sama, kita doa pasukan ini (B-17 negara) ada peluang untuk pergi ke Piala Dunia, dan ini menjadi satu sejarah kalau Malaysia masuk.

“Selepas itu pasukan ini (ketika ini skuad B-17 berada di Qatar) akan balik menentang Arab Saudi di sini dalam aksi persahabatan, dan juga Uzbekistan yang berminat, dan banyak juga pasukan datang ke sini dulu sebelum pergi ke Bangkok. Lepas itu mereka akan ke Bangkok pada bulan Jun,” katanya.

Bagi saingan pusingan akhir Piala Asia B-17 2023 itu nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan A yang mana mereka dijadual memulakan kempen bertemu Yemen di Stadium Thammasat pada Khamis, 15 Jun 2023 diikuti aksi kedua berdepan tuan rumah, Thailand di Stadium Pathum Thani pada Ahad, 18 Jun 2023 dan aksi terakhir kumpulan menentang Laos di Stadium Thammasat pada Rabu, 21 Jun 2023.

Sepanjangan berada di Qatar, skuad Malaysia B-17 mempamerkan prestasi cemerlang dalam enam aksi persahabatan berdepan kelab negara itu yang menyaksikan mereka melakar lima kemenangan dan satu tewas.