Pemain cilik, Muhammad Aqil bin Mohd Shamsul Aswadi yang mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air dan segelintir di Indonesia beberapa hari lalu kini telah disambar oleh Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kelibat pemain berusia 13 tahun itu tular berikutan aksi tenang dan memukau dipamerkannya ketika beraksi menentang lawan yang lebih dewasa di Terengganu.

Aqil Shamsul
Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers

Dengan kualiti hebat dimilikinya pada usia muda membuatkan JDT tidak menunggu lama untuk membawa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu itu untuk ke kelab tersebut.

Perkembangan terkini itu disahkan JDT menurut kenyataan rasmi dikeluarkan laman Facebook kelab tersebut, sebentar tadi.

“Selamat datang ke Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim telah menandatangani pemain muda berusia 13 tahun, Muhammad Aqil b Mohd Shamsul Aswadi dari Terengganu.”

“Remaja tersebut akan menyertai Akademi JDT. Akademi JDT adalah satu-satunya akademi kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan bola sepak, pendidikan dan penginapan. Luaskan Kuasamu Johor.”

Menurut perkongsian Football Terengganu, Aqil sememangnya berada dalam keluarga bola sepak dimana abangnya, Arsyad Shamsul merupakan pemain bagi skuad Terengganu IV yang beraksi dalam saingan Piala Belia.

Bapanya iaitu Mohd Shamsul Aswadi atau lebih mesra dengan panggilan โ€˜Matcangโ€™ merupakan lagenda skuad futsal Terengganu dimana beliau menjadi ketua pasukan sehingga umur 44 tahun.