Lockdown merupakan satu tempoh yang sukar untuk para pemain dan jurulatih.

Para pemain kini perlu merencana aktiviti latihan sendiri di rumah pada ruang kawasan yang terhad.

Di England, mereka juga melalui tempoh lockdown. Ia merupakan cabaran yang besar buat para pemain dan jurulatih.

Latihan dan pemain profesional

Seorang pemain bola sepak profesional perlu memastikan badan mereka sentiasa bersedia dan cergas.

Ini kerana, apabila musim disambung semula, mereka sudah mampu untuk menghadapi intensiti permainan yang tinggi.

Jika badan mereka tidak bersedia, maka risiko kecederaan amat tinggi.

Kevin De Bruyne menyatakan, para pemain profesional memerlukan masa sehingga 2-3 minggu untuk mendapatkan ‘shape’ terbaik mereka apabila musim kembali disambung selepas lockdown.

Memang sukar untuk pemain berlatih sendiri di rumah dan menyamaai beban latihan yang mereka lalui di pusat latihan dengan bantuan jurulatih.

Tetapi mereka kena pastikan mereka tidak terlalu jauh lari daripada takuk yang sepatutnya.

Manchester United sediakan program khusus

Dalam satu temubual dengan Ole Gunnar Solskjaer baru baru ini beliau menyatakan, beliau sudah mengarahkan staf kejurulatihan dan pegawai-pegawainya untuk memberikan lampiran panduan kepada para pemain.

Setiap pemain memiliki keperluan latihan fizikal yang berbeza. Misalnya pemain pertahanan, mereka akan lebih fokus kepada latihan fizikal dan lompatan sebagai contoh.

Manakala pemain penyerang pula perlu juga mengambil kira isu finishing. Sebab itu Ole merasakan para pemain perlu untuk melakukan latihan finishing.

“Para pemain sudah diberikan program untuk setiap individu. Mereka ada diet mereka sendiri.”

“Dan pada masa ini mereka harus melakukan perkara yang istimewa dan spesifik berkenaan dengan peranan dan tugasan mereka.”

Sambil berseloroh beliau meminta isteri dan teman wanita pemain membantu para pemain ini dengan memberikan cross dan hantaran yang cantik.

Ole Gunnar Solskjaer yakin, hari ini, ramai pemain yang tinggal di rumah yang ada halaman yang ada padang mini. Jadi, mereka boleh menggunakan ruang itu untuk berlatih.

Laporan

Solskjaer turut menegaskan bahawa, setiap orang di United ketika ini masih terikat dengan laporan.

Tiada siapa yang bercuti ketika ini. Beliau berkata: “Saya sekarang ini bekerja dari rumah, saya menyemak laporan setiap hari daripada pegawai dan para pemain.”

Beliau mahu para pemain melaporkan aktiviti mereka setiap hari. Begitu juga dengan pegawai mereka yang menyediakan garis panduan kepada pemain.

Misalnya, pakar nutrisi, mereka akan menyediakan garis panduan pemakanan kepada pemain. Dan pemain pula harus melaporkan laporan berat badan semasa mereka.

Solskjaer bersyukur, kerana pada hari ini, komunikasi di antara mereka hanya sekejap sahaja dengan adanya kumpulan WhatsApp dan alat perhubungan yang lain.

“Sebenarnya saya masih bekerja dan sentiasa berhubung dengan pemain dan staf saya seperti biasa. Dan sudah tentu saya perlu memantau mereka setiap hari, setiap jam.”

“Saya juga sentiasa berhubung dengan mereka menerusi kumpulan WhatsApp dan mesej. Apabila kami kembali semula kelak, [mereka jelas dengan] apa jenis latihan yang akan kami jalani.”

“Tetapi buat masa ini kami tak tahu bila kami akan kembali semula seperti biasa.”

“Mujurlah sekarang ini ada teknologi dan kami mendapat manfaat daripadanya. Kami masih boleh berhubung dan melihat satu sama lain”

“Hantar sahaja mesej, anda dah terus dapat balasan yang cepat. Bayangkan dahulu, kita cuma dapat berkomunikasi dengan panggilan telefon. Jadi, kami sekarang berhubung seperti biasa. setiap hari.”

Rumusan

Begitulah ketelitian pasukan seperti Man United dalam membantu dan memantau perkembangan pemain mereka ketika lockdown.

Secara langsung, mereka terus berhubung seperti biasa. Cuma kali ini para pemain perlu melakukan tugasan lebih untuk menjadi jurulatih peribadi kepada diri sendiri.

Para pemain perlu mengikuti garis panduan dan program yang telah diberikan kepada mereka.

Kami percaya setiap kelab profesional di dunia melakukan perkara yang sama pada ketika ini.