Nama Antonio Conte terus bermain di bibir pemerhati bola sepak dunia pada ketika ini selepas beliau dikatakan telah menarik minat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur untuk mendapatkan khidmatnya.

Menurut sumber Football Italia, Tottenham dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menghubungi Conte selepas kelab tersebut tunduk kepada Manchester United 0-3 yang sekali gus merupakan kekalahan kelima skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu dalam kempen liga.

Ia juga merupakan kekalahan kedua berturut-turut dihadapi dalam saingan EPL selepas sebelum ini mereka tewas 0-1 di tangan West Ham United menerusi jaringan pemain pertahanan, Angelo Ogbonna.

Prestasi hambar ditampilkan Harry Kane dan rakan sepasukannya itu menyebabkan Tottenham kini berada di tangga kelapan liga dengan mengumpul 15 mata.

Keadaan tersebut nyata meletakkan kedudukan Nuno dalam keadaan genting untuk beliau terus membimbing kelab yang berpangkalan di London itu.

Minat Tottenham terhadap Conte bukanlah perkara asing kerana finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2018/19 itu memang ingin membawa Conte ke Stadium Tottenham Hotspur pada musim panas lalu tetapi usaha tersebut gagal sehingga merintis kepada kedatangan Nuno.

Selain daripada Tottenham, Conte juga sebelum ini dikaitkan dengan Manchester United dan beliau juga tanpa berselindung mengakui bersedia untuk memikul tanggungjawab itu.

Bagaimanapun, dengan kejayaan United menundukkan Tottenham pada aksiĀ  kelmarin serta pengurus pasukan, Ole Gunnar Solskjaer yang mendapat sokongan kuat terutamanya daripada Sir Alex Ferguson, mungkin tiada peluang buat Conte.

Keadaan itu memberikan gambaran jelas bahawa mungkin Tottenham Hotspur merupakan pilihan tepat buat Antonio Conte untuk kembali membimbing pasukan selepas beliau meninggalkan Inter Milan kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan dibuat pemilik kelab tersebut.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Conte Sedia Terima Lamaran United, Namun BOD Masih Fikir Kewajaran Pecat Ole

Malaysia Layak Ke Piala Asia B-23 Dengan Rekod Bersih Tanpa Bolos

Piala Malaysia 2021: Dollah Salleh Harap Kenny Athiu Lebih Tajam Di Depan Pintu Gol