Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa semalam mengumumkan beliau mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan Presiden Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur (KL City).

Menurut laporan daripada Bernama, faktor yang mendorong keputusan itu adalah disebabkan kekangan masa dalam memainkan peranan sebagai presiden sejak memimpin Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Kita perlu berlaku adil, kita tak boleh nak bergayut pada jawatan kalau kita rasakan kita ada kekurangan atau jangkakan ada orang lain yang boleh buat lebih baik, jadi saya dah buat setakat saya mampu.

“Sejak berada di KKMM banyak perkara saya nak buat (bersama KL City FC) tetapi tak dapat kerana kekangan masa. Jadi eloklah KL City FC pun sedang meningkat, elok ada seseorang yang dapat memberikan bimbingan seterusnya kerana KL City FC mempunyai potensi sangat besar,” katanya kepada Bernama.

annuar musa kuala lumpur city

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu dilantik sebagai Presiden KL City pada bulan Februari 2021 dan beliau juga merupakan antara watak penting yang menjadi kunci kebangkitan pasukan itu.

Tahun lepas, KL City menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 sekali gus mengesahkan tempat ke saingan Piala AFC 2022.

KL City sekali lagi akan bertemu JDT untuk perebutan Piala Sumbangsih pada hari sabtu ini di Stadium Sultan Ibrahim. Annuar menjangkakan perlawanan tersebut berlangsung sengit dan bakal saji aksi yang lebih menarik.

“Sewaktu final (Piala Malaysia) pun saya tak malu mengatakan JDT bermain lebih baik cuma KL City beraksi dengan lebih bijak tetapi JDT adalah pasukan yang lebih baik.

“Jadi apabila KL City bermain di Johor Bahru, mereka akan hadapi saingan sengit tetapi dalam bola sepak, apa saja akan mungkin terjadi,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

RTM Diumumkan Sebagai Rakan Penyiar Unifi Liga Malaysia 2022

2 Musim Ditangguhkan, Saingan Piala FA Kini Kembali

Jadual Liga Malaysia 2022 Sudah Dikemaskini, Beberapa Perlawanan Akan Bermula Pukul 8.15 Malam

RASMI: Luno Diumumkan Selaku Rakan Pelaburan Kripto, Penaja Liga Super Malaysia Dan Piala Malaysia 2022