Pemain tengah import pasukan Kedah, Anmar Almubaraki mungkin digugurkan dan digantikan dengan pemain lain sekiranya beliau gagal untuk pulih daripada kecederaan lutut yang dialami.

Anmar tidak beraksi sejak mengalami kecederaan lutut pada April lalu dan ketiadaan beliau nyata memberi kesan khususnya di bahagian tengah pasukan Kedah.

Anmar Almubaraki
Sumber Gambar: Kedah FA

Setakat ini, bekas pemain Army United itu berjaya menjaringkan satu gol untuk kedah, lebih tepatnya ketika pasukan bimbingan Aidil Sharin Sahak menewaskan Felda United dengan keputusan 4-0 pada Februari lalu.

Anmar turut membentuk gandingan mantap bersama pemain muda Kedah, Fazrul Danel di bahagian tengah dimana kedua-dua pemain memberikan sokongan yang baik kepada barisan serangan serta melindungi benteng pertahanan pasukan.

Fazrul Danel
Sumber Gambar: Kedah FA

Ketiadaan Anmar dan juga Danel yang sebelum ini berada di Cardiff membuatkan Aidil terpaksa membuat perubahan dimana beliau meletakkan Baddrol Bakhtiar di bahagian tengah dan ketua pasukan Kedah itu berganding dengan Amirul Hisham. Namun, gandingan tersebut dilihat kurang menjadi.

Jika Anmar Almubaraki terpaksa digugurkan, pengurusan pasukan Kedah dijangka membawa masuk pemain dari rantau Asia untuk menggantikan Anmar.

Ketika ini, pemain berusia 27 tahun itu masih menjalani sesi pemulihan yang diatur oleh KFA.