Negara anggota Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) sedia untuk membantu Indonesia setelah negara itu dipilih sebagai tuan rumah temasya Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung pada tahun 2021 nanti.

Setelah mengadakan mesyuarat agung di Shanghai pada Khamis lalu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengumumkan Indonesia memenangi bidaan bagi menganjurkan temasya tersebut. Presiden AFF, Khiev Sameth kemudiannya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) selaku badan induk bola sepak di negara itu.

Khiev menambah anggota AFF akan memberikan bantuan dan sokongan yang diperlukan oleh Indonesia berbaki dua tahun sebelum saingan tersebut berlangsung.

“Kami gembira dengan berita baik ini dan tahniah diucapkan kepada Indonesia ke atas kemenangan mereka dalam bidaan sebagai tuan rumah.

“Kami di AFF akan menawarkan pelbagai bantuan yang mungkin diperlukan. 12 negara anggota AFF akan berkumpul untuk memberi sokongan kepada Indonesia,” kata Khiev.

Dalam persaingan bagi mendapatkan hak sebagai tuan rumah, Indonesia mengetepikan cabaran daripada dua negara dari Amerika Selatan iaitu Brazil dan juga Peru.

Kejayaan Indonesia ini dilihat menjadi bukti bahawa negara Asia Tenggara sudah bersedia untuk menganjurkan temasya besar dan tidak mustahil hasrat untuk mengadakan Piala Dunia edisi 2034 di rantau ini boleh menjadi kenyataan.

Baca artikel lain mengenai Piala Dunia B-20 yang telah kami sediakan di sini:

TERKINI: Indonesia Dipilih Sebagai Tuan Rumah Piala Dunia FIFA B-20