Lagenda FC Barcelona dan skuad kebangsaan Sepanyol, Andres Iniesta memutuskan untuk meninggalkan kelab Liga Jepun, Vissel Kobe dan mahu mencari cabaran baharu di usia 39 tahun.

Iniesta beraksi bersama Vissel selama lima musim dan beliau tidak menyambung kontrak setelah kontrak sebelum ini tamat pada bulan Mei dan menurut Fabrizio Romano, pemain itu akan membuat keputusan dalam masa terdekat mengenai masa depannya.

Pemain berusia 39 tahun itu enggan menggantung but beliau dan mahu terus beraksi dalam arena bola sepak profesional.

“Saya rasa saya berada dalam keadaan yang baik untuk bermain dan bersaing. Saya sentiasa fikir yang saya akan bersara tetapi ada beberapa perkara yang tidak mengikut perancangan saya.

“Selama beberapa bulan terakhir, saya bekerja keras ketika latihan untuk menyumbang sesuatu kepada pasukan. Tetapi jurulatih mempunyai perancangan berbeza,” katanya.

Andres Iniesta menyertai Vissel Kobe pada 2018 dan sepanjang beliau beraksi bersama kelab itu, Iniesta memenangi dua kejuaraan iaitu Emperor’s Cup pada 2019 dan Japanese Super Cup pada 2020 selain menjaringkan 26 gol dalam 131 perlawanan yang dihadapi.

Terdapat laporan bahawa ada minat dari beberapa kelab yang beraksi di saingan Liga Arab Saudi dan juga Major League Soccer (MLS).

Selain itu, Iniesta juga terbuka untuk kembali ke Barcelona bagi beraksi di bawah bimbingan bekas rakan sepasukan iaitu Xavi namun beliau melihat perkara itu sebagai sukar untuk direalisasikan.