Sistem sayap Malaysia diuji ketika bertemu Tajikistan dalam aksi final King’s Cup 2022. Dan Kemenangan memihak Tajikistan menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 90 minit.

Permulaan

Malaysia kembali kepada sistem back 4 selepas bermain dengan sangat baik dengan sistem back 3 sebelum ini.

Kim Pan-gon turut menurunkan pemain yang memiliki minit perlawanan yang sangat kurang di peringkat domestik, Mohamadou Sumareh di posisi yang menjadi fokal serangan Malaysia sejak Safawi Rasid menjadi pemain utama dan seterusnya Arif Aiman.

Tajikistan turun dengan sistem 4-2-3-1. Mereka meletakkan Muhammadjon sebagai no.8 atau 10 dalam sistem mereka.

Permainan pada skala tempo sederhana

Kedua dua pasukan bermula dengan tempo sederhana. Dalam kondisi padang basah dan agak berlumpur.

Malaysia  tidak begitu menekankan aspek high pressing secara unit dalam perlawanan ini. Lebih kepada pressing yang tinggi daripada serangan bertiga namun Kim Pan Gon sentiasa mahukan pertahanan di blok rendah.

Seterusnya Tajikistan pula jelas sekali tidak memandang rendah ancaman Malaysia. Mereka tidak mahu mengambil sebarang risiko dalam perlawanan ini dan penjaga gol mereka sentiasa mengeluarkan bola segera ketika ditekan.

Tajikistan berkelebihan fizikal

Namun apa yang jelas Malaysia bermasalah ketika Tajikistan bermain dengan duel fizikal atau mengenakan body charge ke atas pemain Malaysia.

Dalam keadaan hujang dan padang yang berair pastinya aspek fizikal sangat penting. Itu memberikan kelebihan kepada mereka.

Tetapi boleh jadi juga menjadi kekurangan untuk Tajikistan dalam pembinaan serangan kerana mereka tidak boleh membina serangan dengan bola rendah secara aktif.

Namun Tajikistan menggunakan aset utama mereka secara duel dengan sebaik baiknya.

Pemain pemain Malaysia pula tidak yakin untuk melepaskan bola awal dalam keadaan padang yang sebegitu rupa. Ianya adalah kelebihan buat Tajikistan.

Namun dari segi kreativiti dan ketajaman kedua dua pasukan adalah setara. Tidak ada percikan kreativiti yang benar benar jelas dijelmakan.

Tajikistan mematikan wingplay / sistem sayap Malaysia di kanan

Seperti yang dinyatakan di atas, sistem Malaysia adalah berfokalkan sayap kanan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Setiap kali Malaysia mendapat bola dan menyerang, terdapat satu sistem zonal pressing yang jelas untuk mengekang sayap kanan Malaysia. Peranan itu dimainkan oleh Mohamadou Sumareh.

Jadi, perlawanan ini sangat sukar untuk beliau atau sesiapa sahaja yang tidak berada dalam kondisi optimum dari segi ketajaman atau kecergasan.

Malah, Arif Aiman beraksi pun, berdepan dengan kesukaran untuk mencari ruang. Bayangkan pula kesukaran Sumareh yang kehilangan ketajamannya sejak tahun lalu.

Dalam gambar di bawah, Sumareh melakukan overlap untuk serangan balas.

Sistem sayap malaysia

Namun kurang kreativiti dan kecerdasan taktikal membuatkan dia hanya memikirkan untuk pergi sejauh mungkin dan mahu melakukan cut back.

Tetapi sekali lagi, secara fizikal, Malaysia kalah.

Tajikistan kelihatan menyediakan pelan taktikal khas untuk mematikan sayap kanan Malaysia. Tidak kira siapa yang beraksi di situ.

Jadi kredit kepada pasukan kejurulatihan mereka yang mengkaji sistem utama serangan Malaysia.

Jadi apa solusinya?

Variasi permainan. Ini yang Malaysia masih kurang. Malaysia berpegang kepada satu atau dua sistem serangan dalam satu perlawanan.

Dengan kondisi padang yang berbeza, lawan yang berbeza, taktikal sudah dikaji lawan, Malaysia harus ada plan C atau D. Kerana Plan B pun mungkin orang dah tahu.

Pertahanan akhir Malaysia

Boleh dikatakan dalam minggu antarabangsa kali ini, gandingan baru Khuzaimi Piee dan Dion Cools telah menamatkan era bek tengah sebelum ini.

Mereka bermain baik dalam sistem back 3 atau back 4.

Cools dan Khuzaimi serta Syihan menjadi benteng yang sangat baik bergandingan dengan Matthew Davies dan juga Corbin Ong.

Walaupun dalam dua perlawanan ini, barisan pertahanan akhir mendapat perlindungan yang tidak optimum dari lapisan tengah, tetapi mereka hanya melepaskan 1 bolos dalam masa penuh.

Selain itu kredit juga kepada kesemua pemain ketika bertahan bola mati dalam sietem man to man marking. Di mana Tajikistan tidak dapat gol daripada bola mati walaupun secara fizikal mereka kuat.

Rumusan

Penalti ibarat ‘jackpot’. Dari segi kualiti, Malaysia memiliki kualiti penalti yang tidak bagus berbanding ketika berdepan Thailand. Ini ditambah dengan pemain agak termakan dengan permainan perang saraf penjaga gol lawan.

Apapun, perlawanan ini adalah perlawanan yang sukar. Berjaya bertahan tanpa bolos sepanjang 90 minit adalah perkara yang wajar diberikan pujian.