Liverpool berkunjung ke Man United selepas melalui minggu yang sukar di Wanda Metropolitano. Di mana skuad Jurgen Klopp berhempas pulas untuk menang ke atas Atletico.

Man United turut bangkit dalam aksi UCL berdepan dengan Atalanta. Dan mereka dianggap pada momentum terbaik daripada kemenangan itu.

Malangnya aksi di Old Trafford, Man United disekolahkan Liverpool dari segi taktikal dan teknikal.

Permulaan

Klopp membuat kejutan dengan tidak menurunkan Fabinho dan Sadio Mane dalam kesebelasan utama.

Ole Gunnar Solskjaer turut membuat kejutan apabila menyenaraikan 3 pemain yang awalnya disenaraikan sebagai separuh cergas, Bruno Fernandes, Marcus Rashford dan Fred.

Ole ternyata mahu menurunkan kesebelasan terbaiknya dan yakin dengan 3 pemain itu akan menyerlah seperti mana aksi berdepan Atalanta.

Pemain pemain tersebut terpaksa melepasi saringan kecergasan akhir untuk meyakinkan pengurus bahawa mereka boleh bermain.

Kesilapan pertahanan hantui United

Manchester United sekali lagi cemerkap di bahagian pertahanan. Mereka melakukan terlalu banyak kesilapan. Luke Shaw dan Maguire beberapa kali bertembung posisi di satu ruang yang sama.

Statistik pertahanan Man United musim ini sangat teruk. Lihatlah sendiri:

Liverpool diberikan dua gol pendahuluan pada awal perlawanan. Gol pertama adalah kerana United terlalu longgar untuk pressing Liverpool. Masalah yang sebelum ini diutarakan oleh Gary Neville tentang kelemahan pressing United.

Liverpool membina permainan dari bawah tanpa ada gangguan yang lebih agresif. Akhirnya Mohamed Salah menerima bola dan melorongkannya kepada Naby Keita yang dalam keadaan 1 lawan 1.

Wujud pressing namun Liverpool melepasinya dengan sangat mudah.

Dalam situasi ini, organisasi pertahanan United jadi bercelaru. Maguire naik untuk menekan Firmino dan Shaw tidak cerdas untuk memerangkap Salah ofsaid.

Salah menggunakan teknik hantaran yang baik untuk melepaso recovery run daripada Shaw. Pada fasa ini, Shaw sebenarnya berjaya melambatkan Salah namun tidak ada pemain yang cepat merantai Naby Keita.

Sepanjang perlawanan, Liverpool menikmati penguasaan bola tinggi dan menggerakkan bola ke mana sahaja mereka suka.

Ole guna formula lama

Ole Gunnar Soslskjaer menggunakan formula lamanya sebelum ini dengan mengarahkan Luke Shaw bermain man to man marking secara spesifik ke atas Mohamed Salah.

Namun Klopp ternyata sudah menjangkakan pendekatan itu yang sudah beberapa kali digunakan Ole. Apa yang berlaku, Salah dengan cepat masuk ke dalam zon tengah, dan ini secara tak langsung menarik Shaw masuk ke dalam juga.

Akhirnya beberapa kali Shaw bertembung dengan Maguire di zon yang sama dan membuka ruang besar di belakang Shaw.

Sistem ini akan berkesan jika Rashford mengambil inisiatif lebih rajin untuk track back terutama sekali merantai Trent Alenxander Arnold. Namun kemalasan Rashford secara bertahan membuatkan sistem ini dimanipulasi dengan teruk.

Berbalik kepada gambar ini, inilah sebabnya Salah kekal onside, kerana Shaw perlu memastikan dia bermain man to man ke atas Salah. Namun kecelaruan sistem berlaku kerana Defensive midfielder tak cukup melindungi bek berempat dan pemain saya tak turun membantu bertahan.

Sistem ini membuatkan Luke Shaw terlalu kerap berada di dalam zon tengah sehingga dia membuka ruang kepada Salah untuk gol kedua dan ketiga peribadi pemain itu.

United bermain terbuka

Sebelum ini Ole Gunnar Solskjaer bermain dengan sistem lebih defensif. Namun impak dua gol awal Liverpool itu membuatkan mereka perlu respon segera.

Malangnya, ketika mereka bermain terbuka dengan Liverpool, ianya mengundang lebih banyak masalah.

Di tengah pemain pemain mereka tenggelam dek kerana intensiti Liverpool. Jordan Henderson, Naby Keita dan Milner sangat fluid dan mereka lebih sinergi berbanding dengan gandingan Fred, McTominay dan Bruno Fernandes.

Kunci utama kekuatan taktikal Ole terletak pada Bruno Fernandes. Kalau Fernandes world class, maka United akan jadi world class. Intensiti dan tekanan Liverpool mematikan rantaian kepada Fernandes ini.

Kesannya satu sistem serangan United rosak teruk. Mereka mulai bergantung kepada percubaan dari luar kotak penalti dan juga situasi bola mati. Ronaldo yang menjadi ketua serangan mereka terpisah / isolated teruk daripada organisasi.

Bukannya satu kesalahan untuk United bermain terbuka, namun perlaksanaan mereka sangat berisiko. Pemain banyak melakukan skil dan sentuhan yang tak perlu. Greenwood misalnya, mungkin kerana terlalu ingin membuktikan sesuatu kepada Southgate, beliau lambat membuat keputusan dan seringkali membuat skil futsal di atas padang.

United tak kreatif

Apabila anda memiliki pemain yang memiliki kemampuan seperti tandukan dan menyudahkan hantaran lintang seperti Ronaldo, kamu harus memikirkan sistem hantaran kerap ke zon serangan.

Namun United sekali lagi bermasalah dengan sistem sayap mereka dan penyerang tengah.

Ronaldo tidak mendapat servis sebaiknya. Sama ada daripada pemain sayap ataupun pemain sokongan seperti Luke Shaw dan Wan Bissaka.

Salah seorang daripada Rashford dan Greenwood mungkin harus lebih bertindak sebagai penghantar bola kepada penyerang utama dan seorang lagi bermain dengan sistem penyerang sayap yang biasa.

Ronaldo bergelut sepanjang perlawanan kerana Van Dijk dan Konate cemerlang merantainya.

Prestasi Salah dan pressing Liverpool

Gegenpressing Liverpool berfungsi baik dalam perlawanan ini. Inilah sebabnya kenapa Firmino dan Jota diletakkan dalam kesebelasan utama. Dalam analisis Michael Cox, Jota merupakan penyerang yang sangat aktif melakukan high pressing.

Sebagai kontra, Ronaldo pula pemain yang paling pasif dalam high pressing walaupun sebelum ini berdepan Atalanta beliau melakukannya dengan baik.

Firmino memang dikenali dengan kemampuan beliau untuk pressing. Dan gandingan beliau dan Jota membuatkan United terpaksa melepaskan hantaran awal yang akhirnya dimenangi Liverpool di zon bawah.

Seterusnya prestasi Mohamed Salah memang luar biasa. Beliau mencetak hatrik dengan sentuhan yang sangat klinikal. Ia juga menjadi tunjang kepada kekejaman Liverpool ke atas Man United.

Rumusan

Ole Gunnar Solskjaer bertanggungjawab dengan pemilihan pemain yang half fit. Seterusnya dia tidak mengubah sistem permainan terutama sekali arahan taktikal kepada Shaw, dengan membiarkan pemain itu terus kekal dengan sistem yang sama, sehinggalah dia memasukkan Dalot.

Klopp pula lebih bersedia dengan permainan ini dengan ramuan baharu untuk mengejutkan Man United.

United bergelut dengan intensiti Liverpool kerana mereka jelas sekali pasukan yang kurang bermaya sehingga melakukan terlalu banyak kesilapan berdepan dengan pasukan yang klinikal menghukumnya.