Pemain senior, Amri Yahyah kekal beraksi bersama pasukan Sabah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan sekaligus bakal bermain pada usia 41 tahun.

Sabah membuat satu pengumuman menerusi laman media sosial rasmi pasukan baru-baru ini mengenai Amri yang menandatangani kontrak lanjutan selama setahun.

“Usia 41 tahun hanyalah angka! Sentiasa memberikan 100 peratus, mempunyai visi, dedikasi, motivasi dan karakter yang sentiasa padu setiap kali diturunkan.

“Beraksi hampir di setiap perlawanan dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini selain menjadi penjaring terbanyak untuk pasukan Sabah FC, Wak Am selayaknya dikekalkan pada musim hadapan!” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab.

Amri Yahyah menyertai Sabah pada musim lalu setelah beliau meninggalkan satu lagi kelab dari Borneo iaitu Sarawak United.

Meskipun menginjak usia 40 tahun, Amri sentiasa menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dan beliau juga pernah dipilih sebagai ketua pasukan dalam beberapa perlawanan.

Selain Amri, beberapa pemain dari skuad musim lalu turut dikekalkan seperti pemain pertahanan, Nazirul Naim dan bekas penyerang skuad B-23 tahun negara, N.Thanabalan.

Bagi menghadapi saingan musim 2022, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu membawa masuk beberapa pemain berprofil tinggi dan berpengalaman luas bagi memperkuatkan pasukan.

Antara pemain baharu yang ditandatangani oleh Sabah ialah bekas ketua pasukan sekaligus legenda Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar dan rakan sepasukan, Rizal Ghazali.

Selain itu, Sabah turut membawa masuk bekas penjaga gol Negeri Sembilan, Damien Lim, penyerang muda meningkat naik, Azhad Harraz Arman yang beraksi bersama Skuas Projek FAM-MSN dan beberapa pemain lain seperti Dirga Surdi, Badrul Affendy dan Umareng Bacok.

Melihat kepada barisan pemain yang dikekalkan dan dibawa masuk, Sabah mampu untuk menjadi antara pasukan pencabar dalam saingan Liga Super musim hadapan.

Dalam saingan musim 2021, Sabah menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-9 dan hanya mampu menamatkan saingan Piala Malaysia di peringkat kumpulan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Tan Cheng Hoe Panggil Arif Aiman Dan Kalamullah Al-Hafiz Lapor Diri Ke Kem Latihan Skuad AFF Suzuki Cup 2020

Junior Eldstål Dan Syafiq Ahmad Bakal Diletakkan Di Bahagian Tengah

TMJ Tak Jadi Berehat, JDT Bakal Berbelanja Besar Untuk Perkuatkan Pasukan Musim Depan