Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Final Piala Malaysia 2018 menjadi kenangan paling manis buat pertahanan Perak FC, Amirul Azhan Aznan sambil mengharapkan kejayaan seperti itu mampu diulangi sekali lagi pada musim akan datang.

Jelasnya, mungkin agak sukar untuk mereka mara ke final pada musim ini, tetapi melihat kepada prestasi semasa Perak dalam dua perlawanan awal TM Piala Malaysia tempoh hari, ia boleh dianggap satu pencapaian baik andai mereka mampu mara sehingga ke pusingan suku akhir.

Azhan bagaimanapun percaya Perak akan kembali bangkit pada musim hadapan selepas bergelut dengan pelbagai cabaran pada tahun ini sehingga tersingkir ke Liga Premier selain berharap aura final TM Piala Malaysia akan dirasai kembali sepertimana yang mereka pernah lakukan pada musim 2018 untuk bergelar juara.

Dia yang telah beraksi bersama Perak sejak 2016 menyifatkan motivasi barisan pemain semakin baik untuk cuba mencabar lawan di pentas TM Piala Malaysia dan enggan jadikan pencapaian di saingan Liga Super musim ini sebagai kelemahan.

“Secara peribadi, memang saya rindu untuk rasa balik aura final 2018 dan kalau saya imbau balik kenangan itu, memang cukup indah dan sentiasa terpahat dalam hati.

“Tetapi, semua tahu macam mana kami cukup bergelut untuk bersaing pada musim ini, jadi bagi saya, kalau mampu melepasi ke suku akhir pun sudah memadai untuk kami.

“Saya boleh katakan tidak semestinya kalau kami lemah di saingan liga, kami juga akan lemah di Piala Malaysia, apa-apa sahaja boleh berlaku dan mungkin Perak akan mampu beraksi lebih baik dalam kejohanan ini untuk sekurang-kurangnya ke suku akhir.

“Bukan apa, Piala Malaysia ini mempunyai aura yang lain daripada lain, jadi kadang-kadang kita tidak boleh nak jangka apa yang akan berlaku dan saya harap apa yang kami akan capai dalam kejohanan ini dapat beri lebih semangat untuk pasukan. bersedia hadapi Liga Premier musim depan”, jelasnya.

Tambah pemain berusia 28 tahun ini, pengendali Shahril Nizam Khalil telah menyediakan perancangan rapi untuk barisan pemain termasuklah mengadakan dua aksi persahabatan dalam masa terdekat sebelum perlawanan kembali bersambung pada 29 Oktober ini.

Jelasnya, tumpuan lebih diberikan kepada aspek serangan yang masih menjadi kelemahan utama pasukan ketika ini.

“Sekarang kami sudah kembali berlatih dan jurulatih (Shahril Nizam Khalil) ada mengatakan perancangan untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan, cuma kami tidak pasti lagi akan menentang pasukan mana.

“Kalau nak lihat balik dua perlawanan lepas, memang kita agak kecewa sebab gagal dapat mata penuh sebelum berehat, cuma kalau daripada segi momentum dan taktikal, ia lebih baik berbanding perlawanan sebelum-sebelum ini.

“Tetapi, ketumpulan di bahagian serangan masih lagi merisaukan dan itu yang perlu diperbaiki sebelum kita beraksi semula pada 29 Oktober”, tambah Amirul Azhan lagi.

Perak FC kini di kedudukan ketiga Kumpulan B TM Piala Malaysia dengan satu mata selepas seri 2-2 dengan Kuching City FC dan tewas 1-0 kepada Selangor FC.

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group