Bekas ketua pasukan AC Milan, Massimo Ambrosini mengakui kelab yang diwakilinya selama 17 musim itu mampu untuk tampil konsisten sekali gus sudah bersedia untuk menjulang trofi Serie A 2021/22.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan liga musim ini, skuad bimbingan Stefano Pioli itu mencatatkan enam kemenangan dan satu keputusan seri untuk mencatatkan 19 mata.

Keadaan itu menyaksikan skuad Rossoneri hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, SS Napoli yang masih mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan.

Melihatkan kepada perkembangan terkini itu serta berbekalkan dengan beberapa elemen menarik dipamerkan, Ambrosini yakin AC Milan mampu untuk menamatkan penantian untuk muncul juara pada musim ini.

“Skuad Milan di bawah kendalian Pioli sememangnya sudah bersedia untuk memenangi kejuaraan,” ujar Ambrosini menurut laporan Football Italia.

“Mereka dilihat mempunyai dua kekuatan, iaitu kesedaran berkenaan cara mereka sendiri dan pelbagai jalan penyelesaian yang dapat dilakukan [dari setiap situasi].”

“Mereka menguasai teknik dan taktikal, jurulatih boleh memperkenalkan sesuatu yang baharu pada setiap perlawanan. Mereka sangat lengkap berbanding pasukan lain,” tambah Ambrosini lagi.

AC Milan yang boleh diibaratkan sebagai ‘harimau terluka’ kini kelihatan sudah semakin menunjukkan kebangkitan sejak dibimbing Pioli sejak 9 Oktober 2019.

Kali terakhir kelab yang pernah menjadi kuasa besar bola sepak dunia itu meraih kejuaraan adalah sewaktu menjulang trofi Serie A 2010/11.

Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.

Kylian Mbappe Akui Minta PSG Lepaskannya

Hargreaves: Kalau Sir Alex Masih Bergelar Pengurus, Fred Akan Dihukum Sebulan

Piala Malaysia: Gurusamy Harap Percubaan Ketiga Beri Tuah Buat PJ City