Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, sempat bertemu para pemain skuad Harimau Malaya serta barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan menjelang saingan Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dijadualkan bermula esok.

Meskipun Harimau Malaya mencatat dua kemenangan dalam dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Brunei dan Hong Kong beberapa hari lepas, Hamidin menganggap prestasi pemain perlu dipertingkatkan lagi.

Beliau turut mengingatkan kepada para pemain agar tidak dibuai dengan sebarang pujian sebaliknya terus mempamerkan prestasi yang konsisten dalam perlawanan seterusnya.

“Diakui dua kemena­ngan ke atas Brunei dan Hong Kong adalah permulaan baik kepada persiapan kita, namun ia tidak bermakna jika kita tidak lakukan yang lebih baik di pertembungan sebenar.

“Saya ingatkan pemain untuk tidak lena dibuai dengan sanjungan dan pujian, sebaliknya jadikan ia inspirasi untuk terus melawan.

“Dalam kita dipuji, tidak kurang juga ada yang mengkritik, maka terus jadikan pertembungan ini untuk medan membuktikan kemampuan masing-masing.

“Berdasarkan pemantauan saya dalam dua aksi persahabatan ini masih ada kelompongan yang perlu kita baiki kerana kita tidak boleh sesekali memandang rendah lawan, ini tugas penting,”katanya.

FOTO: FAM

FAM sebelum ini mengumumkan senarai 23 pemain yang telah dipilih oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon untuk membawa cabaran skuad Harimau Malaya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

Lebih mengejutkan, pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi turut digugurkan bersama penjaga gol Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Afiq Fazail, Kogileswaran Raj, Shahrul Nizam Ros Hasni, Norshahrul Idlan Talaha serta Syahmi Safari.

Syahmi terdahulu telah dilepaskan daripada kem latihan pusat pada 31 Mei lalu kerana masalah kesihatan.

Seramai 30 pemain telah menyertai kem latihan pusat sejak 20 Mei lalu. Pemain yang tidak terpilih ini tetap akan berada dalam senarai bersedia sekiranya terdapat penggantian pemain perlu dilakukan.

Harimau Malaya dijadualkan bertemu Turkmenistan (8 Jun 2022), Bahrain (11 Jun 2022) dan Bangladesh (14 Jun 2022), kesemuanya di Stadium Nasional, Bukit Jalil. Hanya juara kumpulan dan naib juara terbaik kumpulan akan layak secara automatik ke Piala Asia 2023.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

De Paula Jadikan Kritikan Peminat Sebagai Pembakar Semangat

Masalah Sinus Semakin Teruk, Syahmi Safari Terlepas Aksi Kelayakan Piala Asia 2023

Jurulatih Hong Kong Terkejut Dengan Corak Permainan Harimau Malaya