Pemain muda negara, Ng Tze Yong meneruskan perjuangan ke suku akhir All England 2023 selepas melakar kejutan ke atas juara bertahan, Viktor Axelsen pada aksi yang berlangsung sebentar tadi.

Lebih manis untuk diperkatakan, kemenangan itu juga merupakan pertembungan sulung Tze Yong dengan pemain ranking nombor satu dunia tersebut.

Pemain berusia 22 tahun itu tampil dengan cukup meyakinkan pada set pertama apabila berjaya mencatatkan kemenangan 21-15.

Skrip berbeza dijelmakan pada set berikutnya selepas Axelsen mengubah corak permainan untuk mendominasi aksi sehingga mencatatkan kemenangan mudah 21-9.

Aksi penentuan juga cukup mendebarkan apabila Tze Yong mendahului sejak daripada awal permainan manakala Axelsen pula mengejar dengan penuh tenang sehingga mendahului 20-19.

Namun, Ng Tze Yong yang mendapat bimbingan Hendrawan kental bertahan untuk bangkit dan menamatkan set ketiga dengan kemenangan 23-21.

Kemenangan yang penuh dramatik tersebut sekali gus menghalang impian Axelsen daripada sekali lagi memenangi gelaran badminton tertua di dunia itu selepas beliau memenanginya pada edisi 2020 dan 2022.

Menanti pemain ranking ke-28 dunia itu di suku akhir malam esok ialah pemain dari China, Li Shi Feng yang terlebih dahulu menumpaskan rakan sepasukannya, Zhao Jun Peng menerusi permainan berlanjutan hingga ke set ketiga.

Sementara itu, pasangan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa menelan kehampaan apabila tewas kepada Muhammad Shohibul Fitri-Bagas Maulana 18-21, 18-21 dalam tempoh masa 44 minit.