Sandaran utama badminton negara, Lee Zii Jia meneruskan kemaraan ke separuh akhir All England 2023 selepas menundukkan Kodai Naraoka 21-9, 10-21, 21-13 pada perlawanan yang berlangsung lebih satu jam di Utilita Arena, Birmingham sebentar tadi.

Kemenangan penting yang dicatatkan itu juga telah mengulangi pencapaian Zii Jia pada edisi lalu yang mana beliau turut layak ke pusingan empat terakhir.

Zii Jia yang sentiasa dikritik hebat peminat badminton tanah air berikutan prestasi hambar pada empat kejohanan sebelum ini tampil dengan cukup garang pada set pertama.

Ia jelas dibuktikan apabila pemain ranking keempat dunia itu tenang mendominasi permainan dan tidak memberikan ruang yang banyak buat Naraoka untuk mempamerkan aksi sebenarnya sehingga berjaya mencatatkan kemenangan mudah 21-9.

Skrip berbeza bagaimanapun disaksikan pada set kedua apabila Naraoka pula menjelmakan aksi bertenaga sehingga memaksa Lee Zii Jia melakukan kesilapan demi kesilapan untuk pemain dari Jepun itu memenangi set kedua dengan 21-10.

Enggan tewas buat kali kedua berturut-turut berdepan Naraoka yang menundukkannya ketika pusingan pertama kejohanan Terbuka Malaysia pada Januari lalu, Zii Jia memperkemaskan aksi di set penentuan dan usahanya membuahkan hasil bagi mengesahkan kemaraan hasil kemenangan 21-13.

Menanti beliau pada aksi esok ialah wakil dari China, Shi Yu Qi yang menundukkan rakan senegaranya, Weng Hong Yang 21-9, 21-16.

Sementara itu, Ng Tze Yong akan berhadapan dengan Li Shi Feng dijadualkan berlangsung pada awal pagi nanti.