Juara Piala Malaysia 2019, Johor Darul Ta’zim menempelak dakwaan yang mengatakan bahawa kelab tersebut memperoleh kejayaan sejak menjalani revolusi pada 2013 kerana mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kelab semalam menegaskan satu perkara kurang bijak sekiranya pihak lain berpendapat kuasa wang sudah cukup untuk membawa kejayaan kepada sesebuah pasukan.

“JDT mempunyai kewangan yang kukuh, tetapi adalah foolish untuk memikirkan kuasa wang sahaja cukup untuk membawa kejayaan. Kejayaan JDT adalah hasil dari pelan menyeluruh dalam memastikan kelangsungan kelab bagi memenuhi sasaran jangka pendek dan jangka panjang. Memiliki wang tanpa pengetahuan dan kesungguhan untuk berjaya tidak akan menjadikan JDT sebuah empayar seperti pada hari ini.

“Sepanjang 10 tahun, beberapa pasukan juga sudahpun berbelanja hingga RM300-400 juta namun kebanyakan pasukan ini masih tidak mempunyai kemudahan asas seperti pusat latihan, kelengkapan dan kepakaran untuk membantu perkembangan pemain. Sebaliknya, kebanyakan wang ini digunakan hampir sepenuhnya untuk mendapatkan pemain dalam mengejar kejayaan segera.

Alistair Edwards
Afiq Fazail
Sumber Gambar: JST

“JDT telah melabur dalam memastikan fasiliti dan kelengkapan berada pada tahap terbaik dan mempunyai kepakaran dalam membantu pembangunan pemain. Pemain seperti Safawi Rasid, Afiq Fazail, Adam Nor Azlin, Syamer Kutty Abba dan Syafiq Ahmad telah mempertingkatkan prestasi mereka melalui fasiliti dan sistem sokongan JDT,” kata Edwards.

Edwards berkata demikian setelah salah sebuah media mengeluarkan satu artikel yang bertajuk “Ada Duit Semua Jadi” di muka belakang dan dianggap artikel tersebut menyindir bahawa wang adalah faktor keseluruhan kejayaan yang diraih oleh JDT.

Pada masa yang sama, Edwards turut menegaskan pihaknya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan melulu yang dilemparkan dalam artikel tersebut. Edwards turut berharap agar organisasi media bersikap lebih objektif dan tidak berat sebelah dalam mengeluarkan berita.

Baca artikel lain mengenai JDT yang telah kami sediakan di sini:

Johor Darul Ta’zim Juara Piala Malaysia 2019, Unggul Dengan Keputusan 3 Gol Tanpa Balas

Syafiq Ahmad: Ini Adalah Gol Pertama Saya Dalam Perlawanan Akhir, Rakam Penghargaan Untuk Rakan Sepasukan

Benjamin Mora: Diogo Miliki ‘Intelligence’, Syafiq Ahmad Pamer Aksi Terpuji Dipelbagai Posisi