Sebaik sahaja berjaya mengemudi skuad kendaliannya muncul juara Piala AFF Suzuki 2020, Alexandre Polking kini mensasarkan untuk melakar kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.

Kejayaan manis di Singapura itu hadir hanya selepas beberapa bulan Polking dipilih sebagai pengganti kepada jurulatih terdahulu, Akira Nishino yang dipecat berikutan kegagalan Thailand melangkah ke pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2022.

Berbekalkan dengan kekuatan penuh dimiliki dalam saingan Piala AFF tempoh hari serta sudah arif tentang selok-belok bola sepak di Thailand, Polking jelas tidak mensia-siakan kepercayaan penuh yang diberikan pengurus pasukan, Nualphan Lamsam terhadapnya.

Thailand bukan sahaja muncul juara buat kali keenam, malah skuad Gajah Perang itu mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan dan berjaya meledakkan 18 gol dengan Teerasil Dangda dan Chanathip Songkrasin turut bergelar penjaring terbanyak kejohanan bersama Safawi Rasid dan penyerang Filipina, Bienvenido Morejon Maranon dengan empat gol.

“Selepas menghadapi tahun yang sukar, bola sepak masih merupakan peluang yang hebat untuk membuatkan orang ramai gembira dan saya mengharapkan ini [menjuarai Piala AFF] menjadi hadiah tahun baru buat semua orang di Thailand selepas mengalami tahun yang sukar.”

“Saya sangat gembira kerana kami mencapai kemenangan tetapi juga kami menang cara yang cukup istimewa dan saya hanya perlu mengucapkan terima kasih kepada semua daripada barisan kakitangan, pegawai dan terutamanya para pemain,” ujar Polking menurut sumber Bangkok Post.

“Ia merupakan kejohanan yang berprestij dan kami sangat gembira memenanginya tetapi kami tidak mahu berhenti di sini dan kemudian kami tidak berpeluang dalam Kelayakan Piala Dunia dan Kelayakan Piala Asia.”

“Kami mempamerkan beberapa detik cemerlang dalam bola sepak, bertahan dengan baik apabila kami memerlukannya dan mencipta banyak peluang dalam kejohanan.”

“Jadi kami perlu membawa kepercayaan itu untuk melangkah dengan baik di peringkat lebih tinggi,” tambah Alexandre Polking lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia di sini:

Alto Linus: Aura Skuad Sabah Kali Ini Sangat Berbeza

Perompak Cederakan Joao Cancelo, Larikan Barang Kemas

FAM: Tan Cheng Hoe Sah Letak Jawatan Ketua Jurulatih Malaysia Dengan Persetujuan Bersama

Sumber