Sebelum ini Roberto Mancini telah memanggil Mario Balotelli untuk mengisi skuad pasukan kebangsaan Itali semasa rehat antarabangsa Januari lalu. Bagaimanapun, dia tidak memasukkan penyerang itu untuk perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 2022.

Panggilan tersebut dianggap memberikan peluang cerah kepada Balotelli untuk beraksi dalam kancah Piala Dunia.

Ketika dipanggil pada Januari, Itali tidak ada perlawanan antarabangsa, namun cuma mengadakan sesi latihan pusat sebagai persediaan menghadapi Macedonia Utara pada separuh akhir play-off Path C.

Mancini ternyata memiliki alasan tersendiri untuk menyisihkan Balotelli daripada panggilan kebangsaan bagi aksi play off ke Piala Dunia.

Namun ianya tidak berkaitan dengan disiplin pemain itu, walaupun dikenali dengan reputasi tingkahlaku dan disiplin nakalnya.

Sebaliknya Mancini menegaskan bahawa beliau memiliki opsyen lain yang lebih baik dari segi kualiti versatiliti.

“Saya membawa mereka yang lebih serba boleh. Kami hanya mempunyai beberapa sesi latihan. Tidak banyak masa untuk mencuba perkara baharu,” kata Mancini pada sidang akhbarnya.

Mancini akhirnya mengutamakan pemain yang berada dalam kem pasukan Itali semasa kempen Euro 2020 atas alasan kekanangan masa untuk memberikan latihan dan proses adaptasi kepada pemain pemain baharu.

“Kami memanggil pemain yang merupakan sebahagian daripada pasukan Euro 2020, kecuali [Federico] Bernardeschi yang belum cergas.”

Mancini juga meminta semua pihak faham bahawa beliau tidak boleh memanggil 40 pemain sekaligus untuk tugasan kebangsaan .

“Saya tidak boleh memanggil 40 pemain. Kami memanggil penyerang dengan watak berbeza untuk perlawanan ini.”

Mancini menegaskan kenapa beliau memilih Joao Pedro berbanding Balotelli. Menurut Mancini, Joao Pedro adalah pemain yang lebih serba boleh berbanding Balotelli. Ketika ini mereka lebih memerlukan pemain seperti Joao Pedro.

“Tiada alasan yang besar. Malah dari segi had pemain, saya tidak boleh berbuat banyak. Sentiasa sedih terpaksa meninggalkan pemain di rumah mereka, sama ada Balotelli, Calabria atau Bernardeschi,” kata Mancini lagi.

“Tetapi itu pilihan saya. Joao Pedro boleh bermain dalam beberapa peranan berbeza dalam serangan.”