Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias berada dalam keadaan stabil setelah mengalami kecederaan di bahagian kepala pada aksi menentang Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.

Farizal bertembung dengan pemain pertahanan, Shane Lowry ketika mahu menghalang gerakan serangan yang dilakukan Terengganu pada separuh masa kedua.

Hasil daripada pertembungan tersebut, Farizal Marlias tidak sedarkan diri dan beliau terus dihantar ke hospital berdekatan bagi membolehkan penjaga gol itu mendapatkan rawatan.

Laman media sosial rasmi pasukan, Johor Southern Tigers kemudiannya memberitahu bahawa Farizal kini berada dalam keadaan stabil namun penjaga gol berusia 35 tahun itu berada dalam pengawasan ketat doktor selain bakal menjalani beberapa ujian kesihatan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat segera melawat Farizal di hospital sejurus selepas perlawanan menentang Terengganu tamat.

Kemenangan ke atas Terengganu membolehkan JDT terus mendahului dalam carta liga dimana ketika ini skuad kendalian Benjamin Mora itu memperoleh 12 mata, tiga mata dihadapan Sabah dan Kedah Darul Aman.

Pencabar terdekat, Kedah gagal untuk terus mengekori rapat JDT apabila tewas dengan keputusan 4-1 ketika turun menentang Selangor di Stadium MBPJ.

Bagi Terengganu pula, kekalahan di tangan JDT ini meletakkan mereka di kedudukan terakhir dimana skuad kendalian Nafuzi Zain itu masih belum meraih sebarang mata setakat ini.

Sebelum turun berdepan JDT, Terengganu sebelumnya tewas mengejut di tangan Petaling Jaya City dengan keputusan 3-0 dimana Darren Lok menjaringkan hatrik pada perlawanan tersebut.

Selepas ini, Terengganu akan berkunjung ke Borne bagi menghadapi Sarawak United manakala JDT akan turun menentang Petaling Jaya City.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Kemenangan Sri Pahang Dirompak Lagi, Pengadil Bakal Dihukum FAM?

FAM Dan AFC Bincang Tentang Penggunaan VAR Serta Pengadil Profesional

FAM Mengaku Pengadil Buat Kesilapan Batalkan Jaringan Sri Pahang