Al Sadd menafikan bahawa mereka ada menerima bidaan ataupun mengadakan rundingan dengan Barcelona tentang Xavi Hernandez.

Di mana pengurus Al Sadd itu dikaitkan dengan jawatan pengurus Barca selepas pemecatan Ronald Koeman.

Kelab Qatar itu turut menyatakan bahawa Xavi fokus sepenuhnya kepada tugasannya di Al Sadd.

Dalam kenyataannya, Al Sadd berkata: “Sebagai menjawab apa yang berlegar pada baru baru ini, pengurusan Al Sadd sekali lagi menegaskan bahawa Xavi masih ada baki kontrak 2 tahun dan beliau sangat fokus untuk perlawanan seterusnya, dalam usaha mengekalkan kedudukan kami di puncak liga dan mempertahankan kejuaraan.”

Barcelona kini berada di kedudukan kesembilan dalam La Liga. Enam mata di bawah slot 4 teratas. Presiden Barca, Joan Laporta pada Jumaat menyatakan bahawa beliau berminat untuk membawa Xavi pulang semula ke Barca.

Laporta berkata: “Saya pernah kata, ketika dia pergi ke Qatar, saya tahu Xavi akan menjadi jurulatih di sini suatu hari nanti. Sebenarnya, saya memang mahu melihat Xavi menjadi pengurus di sini ketika era saya menjadi presiden.”

Kenyataan Laporta itu kurang disenangi oleh Al Sadd. Dan mereka mengeluarkan kenyataan berbaur amaran kepada Barcelona agar tidak bermain pintu belakang.

Jika mahukan Xavi, Barca harus melalui Al Sadd.

Pegawai Perhubungan Al Sadd, Ahmed Al Ansari menjelaskan: “Tiada sebarang tawaran rasmi di atas meja kami daripada mana mana pihak.”

“Bagi kelab yang ada sedikit rasa profesional, rundingan seharusnya dengan pihak yang satu lagi [kelab pemilik bukannya terus dengan Xavi] jika mereka mahukan pemain atau jurulatih yang masih ada kontrak.”

Barcelona kini sedang berusaha mendapatkan pengurus baharu mereka secepat mungkin. Dan buat masa ini, nama Xavi sememangnya yang paling hangat dikaitkan dengan mereka.