Bintang bola sepak UAE, Omar Abdulrahman akhirnya berjaya mendapat pasukan baharunya apabila menandatangani kontrak dengan kelab liga divisyen 1 UAE, Al-Jazira pada 8 Ogos lepas. Bagaimanapun, kelab tersebut tidak mendedahkan tempoh kontrak itu dan jumlah gaji pemain tersebut.

Pemain yang berusia 28 tahun itu menyertai Al Hilal daripada Al Ain secara percuma pada bulan Ogos tahun lepas tetapi beliau hanya sempat melakukan 5 penampilan kerana mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika menentang Al Shabab.

Baca: Omar Abdulrahman Kini Sedang Cari Kelab Baharu

Kecederaan itu memaksa beliau berehat panjang sehingga terlepas mewakili negaranya dalam saingan Piala Asia pada awal tahun ini serta tidak disambung kontrak oleh Al Hilal kerana tuntutan gajinya tidak dapat dipenuhi.

Omar menyifatkan kehadiran kelab itu tepat pada masanya kerana beliau perlu beraksi dalam perlawanan kompetitif setelah lama berehat untuk mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan UAE bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 yang bermula bulan depan.

“Saya ingin memberikan penghargaan kepada pengurusan Al Jazira kerana masih mempercayai pada kemampuan saya. Saya di sini adalah untuk membantu kelab mencapai sasaran mereka musim ini dan membawa lebih banyak kejayaan.

“Saya sangat mengenali beberapa pemain dalam kelab itu dan tidak sabar untuk bertemu mereka dalam beberapa hari. Saya akan berusaha gigih untuk memikat barisan jurulatih dan para penyokong,” katanya seperti dipetik dalam portal sukan UAE, Sport 360.

Sebelum ini, Omar turut dikaitkan dengan kelab lamanya Al-Ain namun dinafikan oleh pengurus pasukan itu, Ivan Leko yang menyifatkan semua khabar angin yang dilemparkan oleh media tempatan adalah tidak benar.

Omar melakukan penampilan pertama bersama Al Ain pada bulan januari 2009 ketika menentang Al Ahli di Piala Etisalat. Beliau dibawa ke pasukan utama oleh jurulatih Winfried Schafer selepas kagum melihat aksi Omar di kejohanan antarabangsa Al Ain bawah 17 tahun.

Adakah kita bakal menyaksikan kelibat Omar Abdulrahman dalam skuad kebangsaan UAE dalam perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada 10 September ini? Sama-sama kita nantikan.

Anda Mungkin Suka

© 2019 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group