Jika semalam JDT menjadi kelab pertama dari Malaysia yang tampil dalam permainan video Pro Evolution Soccer 2020 (PES 2020), kini giliran kelab dari UAE, Al Ain mencipta sejarah baharu apabila muncul sebagai satu-satunya kelab dari UAE yang bakal dimasukkan dalam FIFA 2020 keluaran EA Sports.

Baca: JDT Sah Kelab Pertama Malaysia Tampil Dalam Pro Evolution Soccer

Ia bermakna penyokong pasukan itu berpeluang menggunakan kelab kesayangan mereka dalam permainan video itu untuk menentang kelab terkemuka seperti Manchester United, Liverpool, Barcelona dan lain-lain.

FIFA 20 akan dilancarkan pada 24 September dan Al Ain FC akan ditempatkan ke dalam bahagian ‘Rest of World’ bersama beberapa pasukan terpilih dari seluruh dunia memandangkan Liga Pro UAE belum dilesenkan dibawah EA Sports.

Pengarah kelab Al Ain FC, Hamad Nakhirat Al Ameri menyifatkan kemasukan kelab mereka dalam permainan video popular dunia itu merupakan satu penghormatan tertinggi dan mereka berasa sangat bangga dengan pencapaian itu.

“Penambahan Al Ain FC dalam FIFA 20 yang akan datang merupakan satu pengiktirafan serta hasil kerja keras daripada para pemain dan pengurusan kelab. Lebih penting sekali ialah para penyokong kami dapat menikmatinya.

“Al Ain FC ada sejarah tersendiri dan kami berazam untuk menjadi kelab terbaik di Asia dan tidak sabar untuk menunjukkan kepada seluruh dunia mengenai potensi bola sepak dari negara Arab,” katanya seperti dipetik dalam portal Timeoutabudhabi. 

Sebelum ini EA Sports dikatakan bakal membawa masuk Liga Super India (ISL) dalam FIFA 2020 menurut laporan daripada portal bola sepak negara tersebut, Khel Now.  Perkembangan itu merupakan satu berita baik untuk para peminat bola sepak India kerana mereka berpeluang memainkan pasukan kegemaran dalam video permainan tersebut.

Bagaimanapun, ianya hanya terdapat dalam versi ‘aplikasi telefon’ (mobile version) bukannya dalam platform komputer atau playstation 4.