Malaysian Football League (MFL) mengumumkan saingan Piala MFL 2023 bakal disiarkan secara langsung di saluran YouTube MFL bermula hari ini, Khamis (2 Mac 2023).

Siaran langsung bagi aksi Piala MFL iaitu Liga Simpanan untuk skuad bawah 23 tahun itu akan melibatkan 127 perlawanan sepanjang musim ini.

Inisiatif yang dilaksanakan oleh MFL ini adalah untuk membolehkan peminat-peminat bola sepak tanah air dapat mengikuti perkembangan saingan Piala MFL yang dibarisi generasi pemain seterusnya untuk diserapkan ke dalam skuad Liga Super.

Kejohanan Piala MFL ini merupakan edisi sulung yang diperkenalkan oleh MFL sebagai medan persaingan kepada pemain-pemain berumur 23 tahun bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan dan pendedahan dalam aksi kompetitif.

Sebanyak 15 pasukan telah mengesahkan penyertaan musim ini. Saingan Piala MFL akan disertai skuad bawah 23 tahun daripada kelab Liga Super serta satu pasukan daripada Skuad Projek FAM-MSN.

Setiap pasukan dibahagikan di dalam dua kumpulan secara undian iaitu kumpulan “A” dan “B”.

Kumpulan “A” akan mempunyai 8 pasukan manakala kumpulan “B” akan mempunyai 7 pasukan. Undian bagi menentukan kedudukan pasukan di dalam Kumpulan A dan B dibahagikan mengikut zon iaitu Zon Tengah, Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur, Zon Borneo dan negeri yang mempunyai dua pasukan.

Empat (4) kelab teratas setiap kumpulan A dan B akan layak ke pusingan ke-2 iaitu Liga Juara (Liga 1 pusingan). Dua (2) pasukan teratas Liga Juara akan layak ke Perlawanan Akhir Piala MFL.

Selain itu, MFL turut memperkenalkan kuota 5 pemain lebih umur termasuk 3 pemain import untuk memastikan kualiti perlawanan Piala MFL dipertingkatkan. Tetapi hanya 2 pemain import dibenarkan beraksi di atas padang.

Setiap pasukan Liga Super akan dibenarkan untuk menyenaraikan lima(5) pemain lebih umur dalam Liga Simpanan tetapi hanya tiga (3) pemain lebih umur termasuk import (maksimum dua (2) pemain) dibenarkan beraksi di atas padang bagi menjamin minit permainan untuk sekurang-kurangnya lapan (8) pemain tempatan B-23 pada setiap masa.

Slot lebih umur dan kelibat pemain import ini akan mengimbangkan dan meningkatkan penanda aras liga selain menjadi landasan buat pemain B-23 untuk menyesuaikan diri dengan jurang Liga Super.