Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan kesemua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang dijadualkan pada bulan Mac dan Jun 2020 ditangguhkan ekoran penularan wabak coronavirus (Covid-19).

Perkara itu disahkan setelah FAM menerima surat rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan ahli-ahli gabungannya yang terlibat dan seterusnya dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk akhirnya satu persetujuan dicapai bagi menangguhkan perlawanan-perlawanan pada tarikh berkenaan.

Tarikh baharu perlawanan tidak dinyatakan kerana FIFA dan AFC akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung status perlawanan-perlawanan yang ditangguhkan itu sebelum memaklumkan kepada ahli-ahli gabungan yang terlibat.

Penangguhan itu akan membabitkan tiga perlawanan Kumpulan G bertemu UAE yang sepatutnya berlangsung di Dubai pada 26 Mac ini serta aksi bertemu Vietnam di Bukit Jalil (31 Mac) dan bertemu Thailand di Bangkok (9 Jun).

“FAM masih sedang berusaha untuk mendapatkan pengesahan pasukan bagi mengadakan Perlawanan Antarabangsa pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini (Mac 2020) dan pihak AFC telah menetapkan bahawa sebarang permohonan perlu dihantar selewat-lewatnya pada Jumaat ini, 13 Mac 2020.

“Bagaimanapun, isu COVID-19 yang sedang dialami di seluruh dunia ketika ini agak merumitkan kita untuk mengadakan Perlawanan Antarabangsa kerana ia membabitkan perjalanan dari satu negara ke negara yang lain.

“Sebarang maklumat terkini mengenai Perlawanan Antarabangsa bagi skuad Harimau Malaya itu akan dimaklumkan oleh FAM dalam masa terdekat ini.” kata kenyataan daripada Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.

Sebelum ini, aksi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Bahrain yang dijadualkan pada 21 Mac 2020 turut dibatalkan kerana kerajaan Bahrain telah mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara berkenaan membabitkan individu-individu dari negara yang berdekatan atau berhampiran dengan wabak COVID-19 termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Beberapa Negara Tolak Jemputan Perlawanan Persahabatan Dengan Malaysia Kerana Coronavirus

Filipina Atau Myanmar Lawan Harimau Malaya Jika Aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 Ditangguhkan

Perancangan Tan Cheng Hoe Terganggu Selepas Pembatalan Perlawanan Menentang Bahrain