Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa perlawanan Liga Super 2021 di antara Kedah Darul Aman FC dengan Johor Darul Ta’zim pada Selasa, 4 Mei 2021 di Stadium Darul Aman akan diadakan tanpa penonton susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh pihak kerajaan.

Berdasarkan pengumuman oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, pelaksanaan PKP dilakukan di beberapa daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim bermula pada 1 hingga 14 Mei 2021 berikutan peningkatan kes COVID-19 di kawasan berkenaan.

Maka MFL menetapkan bahawa perlawanan Liga Super 2021 Bil. 67 di antara Kedah Darul Aman FC melawan Johor Darul Ta’zim pada Selasa ini di Stadium Darul Aman akan dimainkan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

Justeru tiada jualan tiket dibenarkan dan tiket-tiket yang telah terjual akan dibayar balik oleh pihak TicketHotline International.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, pihak badan pengendali Liga Malaysia itu akan mengetatkan pematuhan SOP dengan mengaktifkan semula SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton bagi kawasan PKP.

“MFL ambil maklum mengenai pengumuman terkini status PKP di negeri Kedah jadi MFL akan mengetatkan pematuhan SOP dan tahap disiplin gelembung sukan kepada pegawai dan pemain kedua-dua pasukan, pegawai-pegawai perlawanan dan petugas- petugas perlawanan di mana Ujian RTK Antigen terbaharu hendaklah dibuat sehari sebelum atau pada hari perlawanan.

“Jadi, SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penonton adalah diaktifkan semula sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ini sehingga perkembangan terbaharu diumumkan oleh pihak kerajaan kelak.

“Saya berharap agar semua pihak terlibat akan terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan bagi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya.

2 Pemain Kedah Digantung Beberapa Perlawanan Dan Pegawai Pasukan Terengganu Didenda RM35,000

TERKINI: Kedah Dalam ‘Kumpulan Maut’ AFC Cup 2021 Zon ASEAN, Terengganu Miliki Laluan Selesa

TMJ Secara Santai Melawat Bilik Persalinan Pasukan Terengganu, Ucap Tahniah Menang Keatas JDT