Derbi Lembah Klang yang menemukan Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi berkesudahan terikat 1-1 apabila kedua-dua jaringan tersebut hadir pada lewat permainan.

Jangkaan untuk melihat kedua-dua pasukan mempamerkan aksi menarik nyata meleset apabila tidak banyak serangan berbahaya ke kubu lawan masing-masing dapat disaksikan terutamanya pada aksi babak pertama.

Permainan pada separuh masa pertama lebih banyak berlegar-legar di tengah padang dan serangan yang cuba dilancarkan juga tidak memberikan ancaman besar buat kedua-dua penjaga gol.

Aksi di babak kedua juga hampir disajikan dengan jalan cerita yang sama tetapi tempo permainan berubah apabila memasuki minit ke-70 dengan kemasukan beberapa pemain seperti Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi dan Aliff Haikal Loqman Hakim buat pasukan Selangor manakala Paulo Josue di pihak KL City.

Shahrel Fikri mendapat peluang pada minit ke-76 berikutan kesilapan hantaran dilakukan pemain pertahanan pasukan pelawat, bagaimanapun percubaan tonjol diledakkannya di luar kawasan penalti mudah ditangkap penjaga gol, Kevin Ray Mendoza Hansen.

Seminit kemudian, Mendoza sekali lagi bertindak cemerlang apabila beliau tangkas menafikan hantaran lintang cuba dilakukan Syahmi Safari yang mencari rakan sepasukannya dalam kawasan penalti.

Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma jua pada minit ke-81 apabila Safuwan Baharudin menyangka bahawa Dominique Da Sylva berada dalam keadaan ofsaid susulan hantaran jauh daripada Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim.

Bagaimanapun, masih terdapat Syahmi Safari dan Tim Heubach di belakang sehingga menyebabkan pemain import kelahiran Mauritania itu berjaya melepasi kawalan mereka sekali gus dengan tenang beliau menyempurnakan peluang tersebut untuk meletakkan KL City FC di hadapan.

Ketika skuad bimbingan Bojan Hodak itu sudah berkira-kira untuk meraikan kemenangan kedua dalam saingan Liga Super 2021, pertahanan import, Giancarlo Gallifuoco tertanduk bola ke dalam gawangnya sendiri dalam usaha mengeluarkan bola dari kawasan bahaya susulan sepakan percuma yang diambil Oliver Buff.

Keputusan 1-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk Selangor FC berada ditangga kelima dan KL City di kedudukan ketujuh yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan empat mata.