Nasib malang terus menimpa pasukan Sri Pahang apabila mereka tewas 1-2 kepada Terengganu (TFC) dalam aksi Liga Super 2022 semalam. Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut dan mereka kini berada di kedudukan kedua tercorot liga.

Dalam perlawanan itu, TFC terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi rembatan Kpah Sherman seawal minit pertama.

Bagaimanapun, tonggak TFC, Faisal Halim menarik perhatian para peminat bola sepak tempatan apabila sempat ‘menganjing’ penjaga gol import Sri Pahang, Mamadou Samassa selepas menjaringkan gol kedua melalui sepakan penalti pada minit ke 80.

Situasi itu telah membangkitkan kemarahan Samassa yang bertindak mengejar pemain skuad kebangsaan itu namun sempat ditahan oleh para pemain TFC dan pengadil perlawanan.

Sebelum itu, Samassa berjaya menyelamatkan sepakan penalti Faisal Halim tetapi pengadil garisan mendapati penjaga gol dari Mali itu telah keluar dari posisinya lebih awal sehingga memaksa sepakan penalti diambil semula.

Ketika permainan sebenar berbaki empat minit sebelum ditamatkan, Abdul Malik berjaya meledak gol pertama pasukannya selepas bijak memperdaya penjaga gol, Suhaimi Husin untuk merapatkan kedudukan 2-1 hingga tamat perlawanan.