Pemain tengah Kuala Lumpur Citu, Akram mahinan melahirkan kekecewaan beliau ekoran pusat latihan pasukannya yang berpindah-randah selain terlalu daif.

Baru-baru ini, tular di laman media sosial apabila wartawan Astro Arena, Fina Nasrom menunjukkan pasukan itu terpaksa meletakkan katil urut untuk proses pemulihan kecergasan di tepi tiang lampu di padang awam Taman Pudu Hulu.

Ketika ditemu bual, Akram Mahinan menyatakan beliau sebagai pemain berasa malu kerana pasukan yang sebelumnya juara Piala Malaysia 2021 selain finalis Piala AFC 2022 tidak mempunyai padang latihan sesuai.

“Kenapa tempat latihan macam ni? Selalu berubah. Kita berasa segan ketika ada yang bertanya soalan sebegitu.

“Ada yang berkata Liga Malaysia membawa pemain terbaik. Tetapi padang latihan seperti ini. Itulah realitinya,” kata Akram.

Menerusi laporan Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard menegaskan isu ini tidak dapat dielakkan kerana pasukannya memang tidak mempunyai pusat latihan yang rasmi.

“Saya dah usaha sebaik mungkin mencari di mana-mana sahaja tempat latihan sesuai buat sebuah pasukan profesional yang dah wujud sejak 1974 lagi.

“Saya dah pergi ke merata-rata mencari padang seperti di PKNS dan padang-padang lain semuanya tak dapat untuk memberi kami menggunakan untuk tempoh yang panjang.

“Jadi apa yang kami mampu buat?. Kami sebuah pasukan yang penuh dengan sejarah dan hampir memenangi Piala AFC, tapi ini saja yang kami ada,” katanya.