Bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli bakal kembali dalam Liga Malaysia musim depan apabila dilantik sebagai penolong jurulatih  skuad Pulau Pinang bagi menghadapi Liga Malaysia 2020.

Pengumuman itu dibuat melalui laman facebook rasmi Penang FA yang mengesahkan Akmal akan membantu pengendali pasukan, Manzoor Azwira dalam misi untuk kembali ke Liga Super pada tahun 2021.

“Mempunyai pengalaman yang luas sebagai antara penyerang terbaik negara, tanggungjawab untuk membantu Manzoor Azwira Abd Wahid dilihat sebagai kombinasi kejurulatihan generasi baharu yang mempunyai visi yang lebih segar di dalam kancah bolasepak Malaysia,” kata kenyataan itu.

Ketika zamannya sebagai pemain, Akmal pernah mewakili Malaysia di bawah kendalian Hatem Soussi dalam Kejohanan Bola Sepak Remaja Asia B19. Beliau turut mewakili negara dalam Kejohanan Bola Sepak Sekolah-Sekolah Asia di Cheju, Korea Selatan dan mengakhiri musim 1998 dengan membantu Kedah menjuarai Piala Milo B18 Kebangsaan.

Pada tahun 1999, Akmal terpilih sebagai pemain paling muda dalam skuad Olimpik 2000 negara. Beliau telah menjaringkan gol dalam perlawanan sulungnya bersama skuad itu pada 5 Mac 1999 pada minit ke-36 ketika menewaskan skuad Olimpik Singapura 3-1 dalam perlawanan persahabatan di Bukit Jalil.

Pada tahun 2000, Akmal menjadi tajuk utama di akhbar apabila beraksi untuk kelab satelit (naungan) Strasbourg, Haguenau FC yang berpengkalan di Alsace, Perancis. Bagaimanapun, beliau gagal mengekalkan kontrak dengan RC Strasbourg kerana kecederaan ‘hamstring’ dan terpaksa kembali ke Malaysia bermain untuk pasukan asalnya, Kedah.

Dalam saingan Liga Malaysia, Akmal pernah beraksi untuk beberapa pasukan selain Kedah seperti Selangor, Kelantan, Perak, Kuala Muda Naza FC dan Sarawak.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.

Nidzam Adzha Kini Jurulatih Kuala Lumpur, Sasar Ke Liga Super 2021

Osvaldo Haay Bakal Beraksi Dalam Liga Malaysia Musim Depan?

Pasukan ‘Feeder Club’ Kuala Lumpur Akan Beraksi Dalam Liga M3