Bekas pemain skuad kebangsaan, Akmal Rizal tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pengadil pada perlawanan Liga Super 2023 antara Penang menentang Sabah di Stadium Likas baru-baru ini.

Zulkarnain Zakaria diberi tanggungjawab untuk mengendalikan perlawanan dan seperti biasa, beliau membuat beberapa keputusan kontroversi dan kali ini Penang merasa mereka pihak yang dirugikan.

Selepas perlawanan, Akmal Rizal menerusi laman media sosial miliknya meluahkan rasa tidak puas hati mengenai prestasi yang ditampilkan oleh Zulkarnain dimana beliau melabel pengadil itu sebagai perosak bola sepak Malaysia.

“Sampai bila perosak bola sepak Malaysia akan dibiarkan terus merosakkan bola sepak Malaysia,” kata Akmal.

Antara keputusan yang dianggap kontroversi oleh Zulkarnain ialah beliau menghadiahkan dua sepakan penalti kepada Sabah pada separuh masa pertama dan kedua yang dianggap tidak munasabah.

Penyokong Penang juga tidak berpuas hati dengan pengadil dimana mereka menggesa agar pengelola liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperbaiki mutu pengadilan dalam saingan Liga Malaysia.

Selepas kemenangan semalam, Sabah melonjak ke tangga kedua dimana mereka dibezakan dua mata dibelakang pendahulu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kedah dan Selangor mengikuti rapat dimana kedua-dua pasukan menghuni tangga ketiga dan keempat manakala Penang menghuni tangga ke-13.