Ketua jurulatih pasukan B-23 tahun Thailand, Akira Nishino menasihati anak-anak buahnya mereka akan berdepan cabaran yang lebih getir daripada pasukan Australia dan Iraq.

Thailand membelasah pasukan Bahrain dengan keputusan 5-0 pada perlawanan pembukaan pada Rabu dan Nishino memuji persembahan yang ditampilkan oleh pemainnya.

Bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jepun itu percaya kemahuan untuk mencari keputusan terbaik di hadapan penyokong sendiri menjadi faktor utama kemenangan ke atas Bahrain.

“Sebagai pasukan tuan rumah, ada banyak jangkaan terhadap kami pada perlawanan menentang Bahrain. Jadi pada perlawanan pertama, kamu mahu bermain agresif.

“Apabila gol pertama dijaringkan, para pemain meneruskan asakan dan mereka mahu mencatat kemenangan. Sebelum perlawanan, saya memberi penekanan terhadap pemain untuk selalu berada di hadapan,” kata Akira Nishino dipetik daripada laporan Bangkok Post.

Tambah Nishino, perlawanan menentang Australia dan Iraq akan menjadi perlawanan yang sukar kerana masing-masing pasukan memiliki kelebihan tersendiri.

“Kami perlu membuat perubahan khususnya di bahagian pertahanan serta posisi lain. Australia mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan penting untuk kami mencatat kemenangan positif,” tambahnya.

Pada perlawanan pertama, Australia meraih keputusan seri 1-1 ketika bertemu pasukan iraq.

Baca artikel lain mengenai kejohanan AFC B-23 Tahun yang telah kami sediakan di sini:

Jepun Mulakan Saingan AFC B-23 Tahun Dengan Kekalahan Di Tangan Arab Saudi

Thailand Belasah Bahrain Pada Perlawanan Pembukaan Saingan AFC B-23 Tahun