Pengendali skuad kebangsaan Thailand, Akira Nishino memberi amaran kepada kelab Thai League supaya memberi lebih peluang kepada penyerang skuad Gajah Perang untuk beraksi dalam kesebelasan utama.

Thailand sedikit bergelut di bahagian serangan pada dua perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dimana gol yang dihasilkan dijaringkan oleh pemain sayap, Supachok Sarachat dan pemain pertahanan, Theerathon Bunmathan.

Nishino mendapat kritikan daripada peminat apabila beliau hanya menyenaraikan seorang penyerang iaitu Supachai Jaided dalam skuad yang dibawa. Nishino menegaskan jalan penyelesaian terhadap masalah yang dimiliki adalah kelab domestik perlu memberikan lebih banyak peluang terhadap penyerang tempatan.

Akira
Sumber Gambar: Goal.com

“Sebab utama mengapa hanya seorang sahaja penyerang dibawa adalah kerana penyerang tempatan tidak banyak beraksi dalam saingan liga domestik.

“Saya menggesa kelab perlu memberi lebih peluang kepada penyerang tempatan untuk beraksi. Jika perkara ini berlaku, maka akan lebih ramai penyerang dalam skuad kebangsaan,” kata Nishino menurut laporan Bangkok Post.

Pada masa yang sama, bekas pengendali pasukan kebangsaan Jepun itu turut mencabar penyerang Thailand agar berusaha lebih untuk mencabar tempat dalam kesebelasan utama kelab.

Akira
Sumber Gambar: Kyodo News

“Saya mahu penyerang Thailand bersaing dengan untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama kelab. Ini demi kebaikan pasukan kebangsaan,” tambahnya.

Nishino turut menjelaskan beliau mahu membantu jurulatih tempatan untuk meningkatkan kualiti mereka.

“Dengan menghantar pembantu jurulatih saya untuk menyaksikan perlawanan pasukan lain dalam kumpulan G, saya membantu staf kejurulatihan untuk belajar perkara baharu dan memperoleh pengalaman.

“Totchtawan Sripan dihantar untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang UAE manakala Issara Sritaro menyaksikan perlawanan antara Indonesia menentang Malaysia.

Thailand ketika ini sedang mendahului carta kumpulan G dengan 4 mata selepas dua perlawanan manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengekori rapat di tempat kedua dengan kutipan 3 mata.

Baca artikel lain mengenai pasukan Thailand di sini:

Supachok Sarachat, Bintang Meningkat Naik Bola Sepak Thailand

Thailand ‘Titik’ Indonesia 3 Gol Tanpa Balas Dihadapan 11,619 Penyokong Stadium Utama Gelora Bung Karno