Imej ‘budak nakal’ yang cukup sinonim dengan pemain tengah, Radja Nainggolan sememangnya masih belum dapat dipisahkan apabila beliau terus mencuri tumpuan ramai.

Beliau yang kini bersama pasukan dalam saingan Liga Divisyen Satu Belgium, Royal Antwerp dengan selamba menghembus asap rokok elektronik ketika berada di bangku simpanan sebelum aksi liga bertemu Standard Liege, Ahad lalu bermula.

Meskipun masih diberikan peluang beraksi setelah dimasukkan pada minit ke-46 pada perlawanan tersebut, ia masih belum mampu buat Nainggolan untuk menghalang pasukannya daripada tumpas 0-3 bertemu pasukan tangga kelima itu.

Lebih pahit untuk ditelan, pemain berusia 34 tahun itu kemudiannya menerima akibat daripada perlakuan buruk tersebut apabila beliau telah disingkirkan daripada pasukan.

Keputusan drastik itu telah diumumkan oleh laman sesawang rasmi Royal Antwerp dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan selepas perlawanan tersebut.

“RAFC mengadakan perbincangan dengan Radja Nainggolan mengenai fungsi umumnya dan tentang bagaimana tingkah laku tertentu mencerminkan kelab dan kumpulan pemain.”

“Kelab telah memutuskan untuk menyingkirkan daripada pasukan utama (A-Team) selama-lamanya. Perjanjian yang jelas juga telah dibuat tentang apa yang kelab kami lakukan dan tidak menjangkakan daripada pemain.”

Mengulas mengenai hukuman tersebut, Nainggolan menerimanya dengan terbuka walaupun beliau merasakan ia adalah satu hukuman yang cukup berat buat beliau.

“Saya boleh minum [arak] dan merokok dengan tenang. Bahkan seorang pemain bola sepak boleh merokok tambahan pula jika mereka tidak mempunyai pekerjaan yang normal,” ujar Radja Nainggolan menurut laporan Goal.

Sumber