Pemain sayap muda negara, Akhyar Rashid dilihat sudah bersedia untuk menggantikan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan pada perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pusingan pertama.

Pemain sayap Johor Darul Ta’zim ini dimasukkan pada separuh masa kedua ketika pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe menewaskan pasukan Nepal dengan keputusan 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Kemasukan Akhyar serta-merta memberikan impak dimana kelincahan beliau berjaya menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan negara. Barisan pertahanan Nepal gagal untuk menghalang Akhyar dan menjatuhkan pemain itu dalam kawasan penalti.

Akhyar Rashid
Sumber Gambar: FAM

Cheng Hoe tidak dapat menggunakan khidmat Sumareh pada perlawanan semalam setelah pemain sayap Pahang itu digantung perlawanan akibat daripada membantah keputusan pengadil ketika Malaysia berdepan dengan Vietnam di pentas perlawanan akhir Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Namun, ketiadaan Sumareh nyata tidak dirasai kerana Akhyar Rashid menampilkan persembahan cemerlang dan pemain muda itu sudah sedia untuk menggantikan Sumareh pada perlawanan play-off yang akan berlangsung pada 7 dan 11 Jun ini.

Safawi Rasid
Sumber Gambar: AFF

Gandingan Akhyar bersama dua lagi pemain iaitu Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad mampu untuk menajamkan lagi barisan serangan memandangkan ketiga-tiga pemain ini beraksi bersama-sama di JDT.