Pemain sayap Johor Darul Ta’zim, Akhyar Rashid menegaskan beliau sudah sedia untuk menggalas tugas lebih besar bersama Harimau Malaya dan mahu memastikan posisi sayap kiri dalam kesebelasan utama pasukan negara kekal menjadi miliknya.

Akhyar berjaya menyumbang satu gol ketika membantu pasukan kebangsaan menewaskan Timor Leste dalam perlawanan playoff kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa lalu. Ketiadaan Safawi membolehkan Akhyar diturunkan dalam kesebelasan utama bersama-sama seorang lagi pemain sayap, Mohamadou Sumareh.

Akhyar Rashid
Sumber Gambar: FAM

“Saya amat berterima kasih kepada jurulatih dan semua kerana memberi peluang dalam perlawanan kelmarin (Selasa lalu). Atas kepercayaan itu, ­Alhamdulillah saya dapat beri aksi terbaik. Saya sangat terharu sebab semua bagi komitmen 100 peratus bagi memastikan kita ke pusingan berikutnya.

“Bagi saya kalau jurulatih sedia nak letak saya (kesebelasan utama), saya bersedia untuk bermain,” kata Akhyar menurut laporan Utusan.

Sejak dinaikkan pangkat ke pasukan senior, Akhyar selalu menjadi pilihan kedua untuk membarisi kesebelasan utama pasukan negara dibelakang Mohamadou Sumareh dan rakan sepasukan di JDT, Safawi Rasid. Pemain berusia 20 tahun ini hanya dimasukkan pada separuh masa kedua ataupun penghujung masa permainan.

Apa yang pasti, Akhyar perlu tampil secara kerap bersama JDT bagi meyakinkan ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe untuk menurunkan adik kepada Rafdi Rashid ini dalam kesebelasan utama.