Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh bakal terlepas perlawanan persahabatan skuad kebangsaan menentang Jordan pada 30 Ogos ini setelah kecederaan yang dialami pemain sayap Pahang itu belum pulih sepenuhnya.

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak mahu mengambil risiko dengan menurunkan Sumareh setelah pegawai kecergasan pasukan meletakkan Sumareh dalam keadaan 50-50 untuk diturunkan. Cheng Hoe berharap pemain berusia 26 tahun itu sempat pulih menjelang perlawanan pertama peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia pada 5 September ini.

Akhyar
Akhyar Rashid. Sumber Gambar: FAM

Dengan ketiadaan Sumareh, maka dua pemain sayap sedia ada iaitu Akhyar Rashid dan Hadin Azman akan bersaing sesama sendiri bagi merebut posisi sayap kiri dalam kesebelasan utama pasukan negara.

Akhyar sebelum ini beraksi ketika Malaysia menewaskan Timor Leste pada perlawanan peringkat kelayakan yang berlangsung Jun lalu. Pemain sayap Johor Darul Ta’zim ini turut menyumbangkan satu gol ketika Malaysia menang besar dengan keputusan 7-1. Akhyar sekali lagi menemui sentuhan jaringan apabila menjaringkan satu gol pada perlawanan kedua yang menyaksikan pasukan negara menang 5-0.

Hadin Azman
Hadin Azman. Sumber Gambar: Football Tribe

Bagi Hadin pula, ini adalah kali pertama beliau dipanggil sejak Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan senior negara. Setelah mempunyai musim yang cukup baik bersama Felda United dalam saingan Liga Malaysia, Hadin akhirnya berjaya menarik perhatian Cheng Hoe untuk menyenaraikan beliau.

Melihat kepada situasi semasa, Akhyar Rashid dilihat menjadi calon utama bagi mengisi posisi sayap kiri memandangkan beliau telah beraksi di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe sejak menyarung jersi pasukan Kedah.

Namun, nama Hadin tidak boleh diketepikan kerana bekas pemain Johor Darul Ta’zim itu mempunyai kelebihan serta kualiti yang hampir sama seperti Akhyar. Tambahan pula, Hadin mempunyai minit bermai yang lebih banyak dimana beliau beraksi lebih kerap berbanding Akhyar dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Perlawanan menentang Jordan dilihat sebagai satu platform bagi Tan Cheng Hoe untuk memilih pemain bagi mengisi kesebelasan utama menjelang perlawanan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September ini.

Anda boleh membaca artikel lain berkaitan pasukan kebangsaan di sini:

Sistem Tiket Dengan Tempat Duduk Bernombor Mula Digunakan Dalam Perlawanan Malaysia Bertemu Jordan

PSSI Pastikan Keselamatan Penyokong Harimau Malaya Di Jakarta Terjamin

Hazwan Sedia Buktikan Kemampuan Bersama Skuad Harimau Malaya