Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kesatuan Bolasepak Kyrgyz (KFU) dan Persekutuan Bolasepak Myanmar (MFF) menjadi ahli gabungan terbaharu yang diluluskan sebagai anggota penuh Skim Belia Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Perkembangan itu diumumkan oleh laman facebook rasmi FAM setelah badan induk bola sepak negara itu  menerima surat rasmi daripada AFC berhubung kelulusan tersebut.

Menurut Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John dalam surat berkenaan, FAM telah diberikan status keahlian penuh Skim Belia Elit AFC manakala akademi bola sepak negara, Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang menjalankan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) diberikan penarafan 2-Bintang bagi skim berkenaan.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata:

“Kami sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan bola sepak belia kami dan Skim Belia Elit AFC ini menyediakan kami struktur yang tepat untuk diikuti. Kami gembira dapat diterima sebagai ahli penuh dan berbangga salah satu akademi bola sepak tertinggi di Malaysia telah mendapat status dua bintang.”

FAM sebelum ini telah menerima kunjungan delegasi AFC untuk proses penilaian bagi permohonan tersebut dengan Timbalan Pengarah Teknikal AFC merangkap Ketua Pembangunan Pemain AFC, Laszlo Szalai dan Ahli Panel Belia AFC, Chan Yuen Ting disambut kehadiran mereka oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan Bola Sepak Belia FAM.

Skim Belia Elit AFC ini merupakan langkah utama dalam pembangunan bakat yang akan membantu Ahli-Ahli Gabungan AFC untuk mengembangkan lagi program peringkat belia di negara masing-masing.

Antara kriteria yang akan dinilai termasuk mengenai staf, perancangan, pertandingan, kejurulatihan, pencarian bakat, perkhidmatan perubatan, sains sukan, pendidikan & kebajikan, kemudahan, falsafah dan akademi.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Malaysia melalui pautan dibawah. 

COVID-19: Liga Malaysia Mungkin Diteruskan Tetapi Dengan SOP Baharu

Malaysia Bakal Punyai Pemain Pertahanan Asean Termahal Jika Johan Dion Cools Sarung Jersi Harimau Malaya

Aidil Zafuan Tegaskan Belum Ada Penyerang Miliki Kualiti Seperti Khalid Jamlus