Pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan dipilih dalam senarai pemain yang akan menyertai kem latihan pusat sebagai persediaan untuk menghadapi saingan Piala AFF Suzuki 2020 kerana mempunyai pengalaman luas beraksi di pentas antarabangsa.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana selain mempunyai pengalaman yang luas, Aidil juga menampilkan disiplin yang tinggi serta beraksi dengan baik pada dua aksi persahabatan antarabangsa bertemu Jordan dan Uzbekistan bulan lalu.

Selain Aidil Zafuan, ketua jurulatih pasukan negara iaitu Tan Cheng Hoe turut menyenaraikan pemain pertahanan berpengalaman yang lain seperti Shahrul Saad yang juga rakan sepasukan Aidil di Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemain pertahanan tengah yang beraksi di liga luar negara juga mendapat tempat dalam senarai kali ini seperti Dion Johan Cools (FC Midtjylland), Junior Eldstal (Chonburi) dan Dominic Tan (Police Tero).

Walaubagaimana pun, beberapa pemain yang menampilkan prestasi baik dalam saingan Piala Malaysia musim ini tidak tersenarai dalam skuad kali ini seperti La’Vere Corbin-Ong, Matthew Davies, Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Hanapi, Farizal Marlias, Shahrul Nazeem, Zhafri Yahya, Nor Azam Azih dan Shahrul Nizam Ros Hasni.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), barisan pemain skuad negara akan berlepas ke Singapura pada 3 Disember nanti.

Berikutan saingan TM Piala Malaysia masih berlangsung, hanya pemain yang pasukannya sudah terkeluar daripada saingan, sama ada peringkat kumpulan dan suku akhir akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin, 22 November 2021.

Ia kemudian bakal disusuli pemain yang pasukannya tersingkir pada peringkat separuh akhir TM Piala Malaysia 2021 untuk melapor diri pada Ahad, 28 November 2021.

Seterusnya, pemain yang pasukannya layak ke Final TM Piala Malaysia 2021 pada Selasa, 30 November 2021 akan melapor diri pada Rabu, 1 Disember 2021.

Bagi pemain-pemain yang berpangkalan di luar negara, mereka akan melapor diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Dion Cools, Shahrul Saad Kembali Perkuatkan Skuad Kebangsaan

Rozaimi Abdul Rahman Bakal Sertai Sesi Pemilihan Bersama Sabah

Tidak Sengaja Pijak Kaki Amri, Syamim Yahya Mohon Maaf