Pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Aidil Zafuan Abdul Razak teruja dengan kemenangan ke atas Indonesia pada perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam.

Menurut Aidil, meskipun pasukan negara lambat panas pada perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun rakan-rakan sepasukan berjaya menampilkan aksi terbaik sekaligus meraih kemenangan ketiga di peringkat kumpulan G setakat ini.

Aidil
Sumber Gambar: FAM

“Apa yang kami rangcangkan bagi menghadapi dua perlawanan kempen kelayakan menentang pasukan Thailand dan Indonesia menjadi.

“Untuk perlawanan malam ini (semalam), kami bermula dengan sedikit perlahan, tetapi masih berjaya meraih kemenangan dan kami bersyukur,” kata Aidil ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Tambah pemain Johor Darul Ta’zim itu, beliau bukan sahaja berpuas hati kerana berjaya meraih kemenangan namun beliau turut teruja apabila pintu gol pasukan negara tidak dibolosi.

“Bagi saya sebagai pemain pertahanan, apabila pintu gol tidak dibolosi, itu menjadi satu kepuasan. Bukan saja pemain pertahanan, malah pemain lain turut berpuas hati sekiranya kita berjaya mendapatkan clean sheets,” tambahnya.

Dua jaringan Safawi Rasid masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua berjaya memberikan kemenangan kedua berturut-turut bagi pasukan negara sekaligus melonjakkan kedudukan dalam kumpulan G.

Malaysia kini berada dua mata di belakang pasukan Vietnam yang menerajui kumpulan manakala Indonesia masih kekal di tangga tercorot selepas gagal meraih sebarang kemenangan.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia di sini:

Yeyen Tumena: Dua Gol Malaysia Hadiah Dari Pemain Indonesia

Dua Jaringan Safawi Rasid Bantu Harimau Malaya Baham Garuda

Brendan Gan Digantung 1 Perlawanan, Terkilan Terlepas Perlawanan Penting Bertemu UAE Tahun Hadapan