Kepenatan mengharungi jadual padat tidak menghalang Kedah Darul Aman FC untuk terus meraih kemenangan buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan PJ City FC 4-1 dalam aksi Liga Super, semalam.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak menyifatkan motivasi yang ditampilkan oleh barisan pemain untuk tidak berputus asa di sebalik kepenatan berdepan jadual padat susulan perlawanan tertunda menjadikan mereka semakin kental untuk terus mengutip mata sekali gus berjaya meletakkan pasukan di tangga ketiga.

Namun, Aidil menegaskan mereka perlu mengekalkan kemenangan seperti ini dalam aksi-aksi akan datang sekiranya ingin terus berada di kelompok teratas kerana berbanding dengan pasukan lain, Kedah masih ada lima lagi perlawanan yang perlu ditempuh termasuk dua aksi tertunda.

“Alhamdulillah kemenangan kali ketiga berturut-turut, dan tahniah kepada semua pemain yang mengikuti perancangan kita dengan baik untuk menang kali ini.”

“Kita bekerja keras untuk datang ke sini (Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dan PJ City juga merupakan lawan yang cukup kuat, tetapi kita perlu memperbaiki lagi segala kelemahan untuk terus raih tiga mata dalam aksi akan datang.”

“Saya rasa sekarang semangat pemain saya yang sangat tinggi memberi kemenangan kepada pasukan kerana dari Terengganu, kami terus datang ke Kuala Lumpur dan saya rasa ini yang membuatkan hubungan antara pemain lebih baik, kerana kami sentiasa bersama, dan ia hadir melalui semangat berpasukan ini”, jelasnya.

Perlawanan tertunda yang berlangsung semalam meletakkan Kedah ketika ini berjaya meraih 35 mata untuk berada di tangga ketiga dan hanya dibezakan dua mata dengan Terengganu FC yang kini di kedudukan kedua.

Manakala PJ City FC yang dibimbing P. Mania menghuni tangga kelapan dengan 18 mata dan keadaan itu menyebabkan mereka turut terpaksa bersaing bagi mengelakkan zon penyingkiran.

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Pep Guardiola Beri Bayangan Akan Tinggalkan Man City Pada 2023

Madam Pang Dilantik Sebagai Pengurus Skuad Kebangsaan Thailand

Klinik Fisioterapi Selangor FC Kini Dibuka Kepada Orang Ramai