Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) hari ini telah mengumumkan bahawa mereka sudah memutuskan untuk mengambil bekas pengendali kelab Home United dari Singapura, Aidil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih baru skuad itu untuk musim hadapan.

Pemilihan Aidil Sharin itu dibuat selepas menimbang semua 3 calon yang berada dalam senarai akhir sebelum mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif KFA Ke-2 berlangsung petang tadi.

Faktor utama pemilihan pengendali berusia 41 tahun itu adalah berasaskan kepada rekod peribadi yang cemerlang di peringkat Liga-S dan Piala AFC musim lepas menurut kemaskini rasmi dari KFA melalui laman sosial rasmi Facebook mereka.

YAB Presiden KFA, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir turut mengumumkan Victor Andrag, 41 tahun, pengendali skuad Piala Presiden Kedah akan dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai Penolong Ketua Jurulatih pasukan Kedah memandangkan berjaya mengemudi pasukan pembangunan layak ke final 2 kali baru-baru ini. 

Pihak pengurusan juga menyatakan akan memberikan kuasa sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan baharu ini untuk menilai barisan pemain tempatan dan import bagi persediaan pasukan musim hadapan.