Kedah berjaya bangkit daripada kekalahan kepada Terengganu FC minggu lalu apabila menewaskan PKNS FC dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan peringkat kumpulan A Piala Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Darul Aman semalam.

Ketua jurulatih pasukan, Aidil Sharin Sahak memuji semangat juang yang ditunjukkan oleh pemainnya ketika Kedah ketinggalan sebanyak dua kali pada perlawanan semalam bagi memastikan tiga mata menjadi milik juara Piala FA 2019 itu.

Aidil Sharin
Aidil Sharin
Sumber Gambar: Kedah FA

Aidil berkata: Secara keseluruhan, kami berjaya mengawal permainan dimana kami mencipta peluang untuk menjaringkan gol. PKNS sangat compact di bahagian tengah dan saya memutuskan untuk membuat perubahan taktikal dengan meletakkan Baddrol di posisi sayap kanan.

“Terdapat peningkatan yang ditampilkan oleh para pemain. Mereka tidak berputus asa walaupun PKNS dua kali berada di hadapan. Apa yang penting Kedah memperoleh tiga mata penuh,” katanya.

Jurulatih dari Singapura ini turut memuji aksi yang ditampilkan oleh penyerang import, Jonathan Bauman dimana beliau berjaya menamatkan kemarau gol apabila menjaringkan gol kedua Kedah pada perlawanan semalam.

“Kita tahu kualiti yang dimiliki oleh Bauman. Selepas beliau mengalami kecederaan, beliau jarang menjaringkan gol. Tetapi itu adalah perkara biasa dalam bola sepak. Apa yang penting beliau bangkit dan menunjukkan kemahuan untuk membantu pasukan.

“Bauman menampilkan aksi yang baik malam ini (semalam) dan bukan sahaja beliau, malah pemain lain seperti Baddrol, Rizal, Renan dan Shakir juga beraksi dengan baik,” tambahnya.

Pada perlawanan semalam, PKNS mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Romel Morales pada minit ke-30. Memasuki separuh masa Kedua, Kedah bangkit menerusi jaringan Edgar Bernhart. Kedah sekali lagi ketinggalan apabila Nick Swirad menanduk masuk bola hasil daripada sepakan penjuru pada minit ke-70.

Bauman menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83 sebelum pemain pertahanan, Alif Yusoff meledak gol kemenangan untuk skuad Hijau Kuning itu.