Setelah tewas kepada pasukan Johor Darul Ta’zim pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2019, ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak memberikan pujian prestasi yang ditampilkan oleh para pemain.

Menurut Aidil, bukan satu tugas yang mudah untuk turun menentang JDT tanpa kelibat tiga pemain utama namun secara keseluruhan, anak-anak buahnya telah menampilkan satu prestasi yang memberangsangkan musim ini.

Aidil
Sumber Gambar: Kedah FA

“Bukan mudah untuk turun menentang pasukan yang mempunyai kualiti seperti JDT tanpa tiga pemain utama. Tetapi itu tidak boleh dijadikan sebagai alasan.

“Apa yang penting, pemain telah menampilkan prestasi terbaik sepanjang penglibatan pasukan dalam tiga saingan musim ini. Saya turut memberikan kredit kepada barisan kejurulatihan di atas pencapaian ini,” kata Aidil pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Ketika ditanya mengenai gol kedua yang diperoleh JDT menerusi sepakan percuma Safawi Rasid, Aidil berpendapat semua pihak perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan.

“Tiga gol yang dijaringkan nyata memberi kesan terhadap pemain. Namun saya tidak menyalahkan anak buah saya dan sebagai jurulatih saya bertanggungjawab sepenuhnya untuk keputusan perlawanan ini.

“Mengenai gol kedua, ada sedikit upset di situ dan mental pemain sedikit terganggu kerana mereka berpendapat bola tersebut tidak melepasi garisan gol.

“Namun pengadil telah membuat keputusan dan kita perlu menghormati keputusan yang telah diambil. Kita mungkin tampil berbeza sekiranya mempunyai tiga pemain utama yang tidak dapat diturunkan malam ini (semalam),” tambahnya.

Aidil
Syafiq Ahmad menjaringkan gol ketiga JDT. Sumber Gambar: JST

Jaringan Leandro Dos Santos, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad sudah cukup untuk menghadiahkan trofi Piala Malaysia kedua dalam tempoh masa tiga musim bagi Johor Darul Ta’zim.

Kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi merupakan kejuaraan ketiga bagi JDT musim ini selepas mereka memenangi Piala Sumbangsih dan saingan Liga Super.

Baca artikel lain mengenai perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di sini:

Syafiq Ahmad: Ini Adalah Gol Pertama Saya Dalam Perlawanan Akhir, Rakam Penghargaan Untuk Rakan Sepasukan

Benjamin Mora: Diogo Miliki ‘Intelligence’, Syafiq Ahmad Pamer Aksi Terpuji Dipelbagai Posisi

Johor Darul Ta’zim Juara Piala Malaysia 2019, Unggul Dengan Keputusan 3 Gol Tanpa Balas