Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Aidil Sharin Sahak mengakui penggiliran pemain amat penting buat pasukan ketika ini dalam menghadapi jadual padat sambil menyifatkan pemain yang diturunkan dalam aksi menentang Penang FC, semalam beraksi cemerlang untuk menghadiahkan tiga mata.

Aidil melakukan sedikit rombakan tanpa menurunkan Anumanthan Kumar dan penjaga gol Shahril Sa’ari dalam kesebelasan utama bagi memberi ruang kepada mereka untuk bersedia bagi aksi lebih getir berdepan Terengganu FC, Sabtu ini.

Namun, meskipun tanpa dua pemain utama itu selain tonggak import, Renan Alves yang tidak diturunkan susulan kad merah yang diperoleh pada perlawanan lalu juga tidak menggugat aksi Kedah untuk meraih kemenangan 4-1 ke atas Penang.

Ifwat Akmal yang diberi kepercayaan untuk mengawal gawang juga beraksi dengan cemerlang selepas kali terakhir diletakkan dalam skuad utama pada aksi Piala Sumbangsih, Mac lalu sebelum berdepan kecederaan.

“Anumanthan telah meraih dua kad kuning, jadi saya tidak mahu mengambil risiko meletakkan dia dalam kesebelasan utama sebab kita masih perlukan dia untuk aksi lebih getir menentang Terengganu nanti.

“Shahril juga perlukan rehat dengan jadual yang padat ini, jadi peluang saya berikan kepada Ifwat pula untuk menjadi penjaga gol utama pada perlawanan ini.

“Saya rasa sekarang adalah masa sesuai untuk kita lakukan penggiliran pemain dengan lebih kerap kerana banyak aksi-aksi penting kita perlu tempuh, bergantung kepada siapa lawan kita.

“Semua pemain saya akan kerahkan untuk kita sentiasa bersedia bagi setiap perlawanan, dan mereka telah melakukan tugas cukup baik menentang Penang untuk kita raih tiga mata,” jelas Aidil Sharin lagi.

Teruskan membaca artikel-artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Jose Mourinho Yakin Dengan Kemampuan Tammy Abraham

Subkhiddin Salleh: “Pemain Jersi Biru Nombor 7 Perlu Dihukum Dengan Kad Merah”

FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya