Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak tanpa berselindung mengakui bukan tugas mudah buat anak buahnya apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih 2021, malam ini.

Selain daripada keupayaan skuad Harimau Selatan yang sememangnya tidak boleh diperdebatkan lagi, skuad bimbingan Benjamin Mora itu juga memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

Meskipun baharu setahun Stadium Sultan Ibrahim digunakan tetapi sudah ada ‘tragedi’ yang melanda pasukan pelawat apabila dua pasukan yang memiliki kemampuan besar seperti Perak dan Selangor telah menjadi mangsa kerakusan jentera serangan juara Liga Super tujuh musim berturut-turut tersebut sebaik sahaja aksi liga musim lalu kembali bersambung.

Sehubungan dengan itu, pengendali kelahiran Singapura tersebut melihat cabaran sukar pasti akan dihadapi anak buahnya pada perlawanan malam ini.

Namun, Aidil Sharin menegaskan bahawa pasukannya telah bersiap sedia menghadapi aksi getir itu selain menyifatkan pertemuan JDT bakal menjadi satu perlawanan menarik untuk penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

“Satu perlawanan yang agak sukar tetapi kami telah bersedia,” ujar Aidil bercakap kepada wartawan pada sidang media semalam.

“Penting untuk saya sebagai jurulatih memberi motivasi dan semangat kepada pemain-pemain di mana kita tahu apabila kita menentang pasukan terbaik, kita juga kena menjadi pasukan yang cukup baik untuk memberi tentangan.”

“Itulah yang mustahak di mana KDA mahu fokus kepada perlawanan penting ini tetapi seperti saya katakan tadi, kami telah bersedia dan berusaha untuk mencatatkan keputusan positif pada malam esok,” ujarnya.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Aidil Sharin: Pemain Kedah Perlukan Sedikit Masa Untuk Sesuaikan Diri

Benjamin Mora: Kejayaan Lalu Bukan Kelebihan Buat Kami

Bayern Mahukan Haaland