Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak dikhabarkan mahu membawa masuk pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini.

Pemain sayap lincah Home United, Song Ui-young menjadi pilihan Aidil untuk dibawa masuk bagi memantapkan lagi pasukannya untuk menghadapi baki saingan musim 2019. Song beraksi dibawah bimbingan Aidil selama dua musim ketika jurulatih berusia 41 tahun itu mengendalikan Home pada musim 2017 dan 2018.

Jika benar Aidil Sharin mahu membawa masuk Song, maka beliau perlu menggugurkan salah seorang daripada lima pemain yang ketika ini beraksi bersama pasukan. Pemain yang mengisi kuota import Asia, Anmar Almubaraki menjadi pemain yang disebut bakal digugurkan dan digantikan dengan Song.

Anmar Almubaraki
Sumber Gambar: Kedah FA

Anmar beraksi dengan baik pada awal musim ini dimana beliau menemui sentuhan jaringan dan menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama. Namun, kecederaan yang menimpanya membuatkan Anmar gagal untuk meneruskan rentak cemerlang beliau.

Jendela perpindaha kedua Liga Malaysia musim 2019 dibuka pada Rabu lalu dan beberapa pasukan sudah mencorak langkah dengan mencari pemain baharu.