Peminat serta pemerhati bola sepak tanah air ketika ini sedang galak membincangkan mengenai situasi penyerang skuad kebangsaan, Shahrel Fikri Fauzi yang seolah-olah tawar hati untuk beraksi bersama pasukan Perak kerana jarang diberikan peluang untuk membarisi kesebelasan utama.

Baru-baru ini, tindakan Shahrel memadam gambar beliau mengenekan jersi Perak di laman media sosial Instagram miliknya menguatkan lagi andaian bahawa beliau sudah berputus asa untuk memikat hati pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Shahrel Fikri Tawar Hati Dengan Perak?

Namun, selain Eki, seorang lagi pemain Perak turut mengalami nasib yang sama apabila sering memanaskan bangku simpanan walaupun pemain itu mempunyai kualiti serta kebolehan setaraf dengan pemain lain. Pemain yang dimaksudkan ialah Ahmad Khairil Anuar atau yang lebih mesra disapa Beto.

Beto mula mendapat perhatian setelah beliau menampilkan aksi yang bertenaga ketika mewakili Harimau Muda dan skuad B-23 tahun negara. Beto kemudiannya beraksi bersama Perak bermula musim 2015 dan nama beliau kerap menjadi pilihan jurulatih untu diturunkan dalam kesebelasan utama.

Ahmad Khairil Anuar
Ahmad Khairil Anuar. Sumber Gambar: Perak TBG

Musim berikutnya Perak dibimbing oleh mendiang Karl-Heinz Weigang dan kelibat Beto dalam kesebelasan utama Perak mula samar. Apabila Mehmet diberi tanggungjawba untuk mengendalikan pasukan bermula musim 2017, pemain kelahiran Teluk Intan itu sekali lagi bergelut untuk mendapat tempat.

Bagi saingan Liga Malaysia musim ini, Mehmet lebih gemar untuk menggunakan gandingan Leandro Dos Santos dan Brendan Gan bagi mengisi bahagian tengah. Beto hanya dibiarkan memanaskan bangku simpanan dan kadang kala beliau tidak dimasukkan dalam senarai 18 pemain ketika hari perlawanan.

Bekas ketua jurulatih Selangor ini jarang membuat perubahan dan lebih gemar untuk menurunkan pemain sama meskipun pasukan berada dalam prestasi yang kurang baik. Tidak hanya di bahagian tengah malah di posisi lain seperti bahagian serangan turut menerima tempias.

Apa yang pasti, di usia yang masih menjangkau 25 tahun, Ahmad Khairil Anuar perlu segera mendapatkan minit bermain yang cukup bagi meningkatkan peluang beliau untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan. Mungkin dengan berhijrah ke pasukan lain dapat membantu Beto mencapai sasaran tersebut.

Artikel lain mengenai Ahmad Khairil Anuar

Kami Mahu Kekalkan Kejuaraan Piala Malaysia – Beto