Sebuah konsortium yang turut melibatkan ahli perniagaan dari Malaysia terlibat dalam usaha pembidaan untuk mengambil alih kelab English League One, Wigan Athletic.

Menurut laporan Free Malaysia Today, ahli lain dalam konsortium tersebut ialah bekas pengerusi Wigan, bekas pemain Manchester United dan ahli perniagaan berpengalaman.

Sekiranya berjalan lancar, ahli perniagaan dari Malaysia itu akan menjadi pemegang saham kedua terbesar kelab, dengan pemilikan sebanyak 20 peratus.

Wigan Athletic
Sumber Gambar: Wigan Athletic

Harga yang telah ditetapkan oleh pengelola liga, English Football League (EFL) ialah sebanyak £3 Juta atau sekitar RM17 Juta. Pembida juga perlu membuktikan bahawa mereka perlu mempunyai dana sebanyak £4 Juta atau RM22 juta untuk dijadikan simpanan dalam akaun kelab bagi menguruskan segala operasi.

Menurut sumber, bidaan konsortium itu telah dihantar ke EFL serta semua bukti yang mengatakan mereka mempunyai dana yang cukup untuk mengambil alih kelab.

Kelab yang pernah memenangi Piala FA pada 2012/2013 itu ketika ini menduduki tangga tercorot dalam saingan League One. Mereka ketika ini berdepan dengan masalah kewangan yang serius setelah pemilik menarik balik dana yang diperlukan untuk menguruskan kelab.

Wigan Athletic
Sumber Gambar: Manchester Evening News

Ahli perniagaan dari Malaysia itu bercadang untuk membina akademi baharu selain membuka cawangan di Malaysia sebagai jambatan untuk pemain muda negara beraksi bersama Wigan pada masa akan datang.

Jurulatih dari Wigan akan diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan akademi di Malaysia bagi mencari pemain yang sesuai untuk diserapkan ke dalam pasukan.

Operasi pemasaran juga akan dikendalikan oleh ahli perniagaan Malaysia itu dan mereka mempunyai perancangan untuk menyenaraikan Wigan Athletic dalam Bursa Malaysia, memberi peluang kepada warga Malaysia menjadi sebahagian daripada kelab.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Perak II Semakin Hampir Dapatkan Khidmat Sergio Aguero

Lebih 30 Pemain Akan Dipanggil Sertai Kem Latihan Pusat Harimau Malaya

Aidil Sharin: Pemain Kedah Perlukan Sedikit Masa Untuk Sesuaikan Diri