Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa rayuan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia 2019 ditolak sekali gus menyaksikan keputusan MFL menyingkirkan skuad Singa Utara musim ini dalam saingan Liga Premier dikekalkan.

Keputusan itu dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam selepas PFA mengemukakan dokumen sokongan kewangan bagi proses rayuan selama tujuh hari sejak keputusan pembatalan penyertaan Perlis dalam Liga Premier pada 20 Februari lalu.

Keputusan penyingkiran Perlis sebelum ini diambil kerana skuad Singa Utara itu berdepan masalah tunggakan gaji pemain serta PFA tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini.

Dalam proses rayuan kali ini, antara dokumen yang diminta MFL adalah jumlah wang penajaan yang akan didepositkan dalam akaun escrow dengan peguam dan perancangan masa depan PFA bagi mengukuhkan aspek kewangan.

Kata MFL, firma undang-undang kemudiannya perlu mengesahkan jumlah wang penajaan dan mengeluarkan surat kepercayaan kepada MFL yang menyokong bahawa akaun mereka sememangnya mempunyai dana.

“Perlis dimaklumkan bahawa surat dari peguam itu mesti menunjukkan wang berada di dalam akaun. Perlis turut dimaklumkan bahawa ia tidak boleh menjadi surat untuk mengatakan bahawa wang akan didepositkan dalam akaun jika rayuan diterima.

“Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan bersama penaja berpotensi Perlis bertemu dengan Sekretariat MFL bertarikh 26 Februari 2019 untuk mengemukakan dokumen untuk tujuan rayuan di mana penaja berpotensi Perlis bersama mereka.

“Dalam mesyuarat tersebut, Perlis merayu untuk kekal dalam Liga Premier dan menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai Liga M3 kerana ia akan membawa kepada penarikan penaja mereka.

“Setelah mengkaji dokumen yang dikemukakan oleh PFA, surat dari peguam penaja berpotensi menyatakan bahawa penaja berpotensi hanya akan mendeposit dana penajaan sebanyak RM8,000,000 jika rayuan Perlis dibenarkan. Ini jelas tidak memenuhi tuntutan MFL yang mahu dana penaja dimasukkan terlebih dahulu dalam akaun escrow.

“Justeru Lembaga Ahli Pengarah MFL telah memutuskan untuk menolak rayuan Perlis dan keputusan untuk menyingkirkan Perlis daripada Liga Premier 2019 dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.